suria

PMM Berhasrat Hantar 20 Atlet Mendaki Ke Sukan SEA Indonesia

KUALA LUMPUR: Persekutuan Mendaki Malaysia (PMM) berhasrat untuk menghantar 20 atlet, masing-masing 10 lelaki dan 10 wanita bagi mewakili negara ke Sukan SEA di Indonesia November ini.

Setiausaha Agung PMM Mohd Zaidi Kamaruddin berkata mengikut perancangan awal pihaknya bercadang untuk menyertai semua kategori yang dipertandingkan namun keputusan akhir bergantung kepada peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Senarai atlet yang mahu dihantar ke Indonesia sudah ada namun kita masih belum umumkan kerana perlu mendapat kelulusan daripada KBS terlebih dahulu," katanya kepada Bernama.

Antara acara mendaki yang akan dipertandingkan di Indonesia termasuk Speed, Lead Climbing dan Bouldering.

Zaidi berkata pemilihan atlet dibuat berdasarkan beberapa siri kejohanan peringkat kebangsaan yang dijalankan sejak tahun lepas.

"Terbaru adalah Sirkit Sukan Ekstrem Zon Tengah 2011 di Kompleks Sukan Rakan Muda, Bukit Kiara yang berakhir 17 Julai lepas," katanya.

Walaupun PMM optimis dengan keupayaan atlet mereka, Zaidi berkata pihaknya tidak mahu meletakkan sasaran begitu tinggi memandangkan acara itu pertama kali dipertandingkan dalam Sukan SEA.

Katanya penyertaan dalam temasya itu kali ini lebih merupakan pendedahan kepada skuad mendaki negara.

"Kita sasarkan untuk meraih pingat tidak mengira warna daripada kategori 'Men Bouldering' melalui atlet Hafzanizam Bokhari. Dia merupakan seorang atlet berpengalaman," katanya.

Beliau berkata skuad negara juga perlu berhati-hati dengan kehadiran atlet tuan rumah Indonesia dan Singapura yang dikenali sebagai kuasa besar acara itu.

Mengenai persediaan atlet mendaki, Zaidi berkata sesi latihan pusat masih dijalankan seperti biasa di Wall Climbing Hall, Taman Cabaran Putrajaya serta di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara. - BERNAMA

Artikel Lain