suria

Beregu Campuran Chan/Goh Mampu Buat Kejutan Di London

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying dilihat mampu mencipta kejutaan dengan mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Arena Wembley, London, yang berlangsung pada 8 hingga 14 Ogos, menurut jurulatih beregu kebangsaan Rexy Mainaky.

Rexy berkata berdasarkan prestasi pasangan itu tahun ini, Chan dan Goh diramal membuat ‘upset’ dengan menumpaskan beregu-beregu handalan yang berada dalam kumpulan sama dengan mereka.

Antaranya adalah beregu tuan rumah Nathan Robertson/Jenny Wallwork (pilihan ke-10 kejohanan), Xu Chen/Ma Jin dari China (pilihan keenam) dan beregu Indonesia Fran Kurniawan/Pia Zebediah Bernadeth (pilihan kesembilan).

“Mereka (Chan/Goh) mampu untuk membuat kejutan asalkan mereka bermain pada prestasi terbaik mereka seperti yang ditunjukkan ketika Terbuka Thailand dan tidak mengulangi kesilapan pada Piala Sudirman,” katanya.

Chan dan Goh, yang kini menduduki ranking ke-18 dunia, menjadi beregu campuran pertama negara yang memenangi kejohanan dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) iaitu Terbuka Thailand 2009.

Pasangan itu juga menunjukkan persembahan yang baik pada beberapa kejohanan tahun ini termasuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Siri Super Terbuka India pada April dan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia Mei lepas.

Prestasi Chan/Goh, bagaimanapun, menurun pada Piala Sudirman akhir Mei lepas apabila kalah dalam semua perlawanan termasuk ketika menentang beregu bukan pilihan dari Rusia Alexandr Nikolaenko/Valeria Sorokina.

Pada kejohanan dunia kali ini, mereka akan menentang beregu Mexico Lino Munoz/Cynthia Gonzalez pada pusingan pertama dan dijangka bertemu beregu tuan rumah Nathan Robertson dan Jenny Wallwork pada pusingan kedua.

“Bertemu beregu tuan rumah pastinya bukan mudah bagi Chan dan Goh kerana mereka mendapat sokongan penonton.

“Malah berdasarkan pengalaman saya bermain di Wembley, gelanggang agak dekat dengan penonton jadi ini boleh menyebabkan tumpuan pemain terganggu, tapi ini bukan alasan untuk pemain tidak bermain dengan baik,” kata Rexy yang merupakan bekas jaguh beregu Indonesia.

Sementara itu, Chan menyandang tugas besar di London apabila terpaksa bermain dalam dua kategori iaitu beregu campuran dan beregu lelaki bergandingan dengan Lim Khim Wah.

Chan, yang baru-baru ini mengalami kecederaan di bahagian belakang badan, diharap akan pulih sepenuhnya sebelum hari kejohanan.

Cabaran skuad negara ke London, yang diketuai perseorangan nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, turut dibarisi perseorangan lelaki Wong Choong Hann, beregu lelaki Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan Mohd Zakry Latif/Hoon Thien How, beregu wanita Ng Hui Ern/Ng Hui Lin dan Chin Eei Hui/Wong Pei Tty serta beregu campuran Ong Jien Guo/Sook Chin Chong.

Skuad badminton negara kini menjalani latihan di Bath, London sebagai persediaan menghadapi kejohanan itu.-BERNAMA

Artikel Lain