suria

Perpindahan Tevez Ke Corinthians Gagal Dimeterai

LONDON: Pada saat dan ketika semua pihak termasuk pengurus pasukan Manchester City, Roberto Manchini beranggapan urusan perpindahan kapten mereka, Carlos Tevez ke Corinthians sudah pun selesai, tiba-tiba pada Rabu, mereka diberitahu, perjanjian untuk membeli pemain Argentina itu gagal dimeteraikan.

Ini bermakna, Tevez mahu tidak mahu terpaksa kembali ke padang latihan bersama skuad Manchester City tidak lama lagi.

Corinthians mendapati, jumlah yang diminta City iaitu sehingga £40 juta terlalu besar untuk ditunaikan dan mereka gagal mencapai persetujuan untuk membayarnya secara berperingkat.

Jika perjanjian itu dipersetujui, ia adalah yang paling besar dalam sejarah mana-mana kelab bolasepak Amerika Selatan dan Brazil khususnya.

"Sementara kami menghargai segala daya usaha yang telah diambil oleh Manchester City untuk merealisasikan perpindahan ini tetapi pada masa yang sama kami dapati, masa adalah terlalu singkat untuk perjanjian ini dimeteraikan.

"Kami amat menyedari para peminat sedang menanti keputusan ini dengan penuh debaran tetapi mungkin pada masa akan datang kita akan dapat menyaksikan Tevez beraksi untuk kelab kita," kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab bolasepak terbesar Brazil itu.

City telah cuba untuk memastikan hasrat Tevez mahu kembali ke Amerika Selatan dapat ditunaikan bagi membolehkannya berada berdekatan dengan anak-anak perempuannya yang masih kecil.

Antara lain mereka telah menurunkan nilai pasaran yang dianggarkan ke atasnya dari £50 juta kepada hanya £40 juta tetapi apabila Corinthians cuba untuk meneruskan rundingan mengenai isu bentuk pembayaran iaitu secara berperingkat, City suspek, kelab Brazil itu berada dalam situasi yang sukar.

Rekod perpindahan tertinggi yang pernah dilakukan oleh Corinthians ialah dengan mengeluarkan bayaran sebanyak £9.35 juta juga untuk membeli Tevez yang ketika itu baru berusia 20 tahun dari kelab Argentina, Boca Juniors pada tahun 2004.

Kali ini dalam percubaan kedua mereka untuk mendapatkan kembali khidmat Tevez mereka terlalu bergantung kepada tajaan syarikat malah mereka tidak berupaya untuk mendapatkan wang berjumlah £8.7 juta yang diminta oleh City sebagai bayaran pertama mereka.

Malah City khabarnya bersetuju untuk menerima bayaran sebanyak empat kali untuk tempoh empat tahun daripada Corinthians tetapi kelab itu masih tidak mampu menyediakan jaminan bank bagi membolehkan perpindahan tersebut berhasil.

Artikel Lain