suria

17 Pasukan Profesional Sertai Kejohanan Paintball Dunia Promaster

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 pasukan termasuk 17 pasukan profesional dari luar negara akan berentap pada Kejohanan Dunia Paintball Promaster 2011 di Pekan, Pahang mulai 6 Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Noreta Bustanuddin berkata temasya enam hari itu menawarkan hadiah wang tunai RM300,000 bagi kategori profesional dan RM100,000 bagi kategori amatur.

"Kami menjangka 17 pasukan luar negara akan menyertai kategori profesional dan tiga tempat lagi bagi pasukan tempatan. Sehingga kini sebanyak 10 pasukan terbaik dunia telah menyatakan komitmen untuk menyertai kejohanan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Noreta berkata antara negara yang akan bersaing dalam kategori profesional ialah England, Amerika Syarikat, Russia, Australia, Hungary dan Jerman.

Beliau berkata penganjuran kejohanan itu akan memberi pendedahan dan peluang kepada pasukan tempatan untuk menimba pengalaman daripada pasukan profesional antarabangsa dan meningkatkan mutu sukan ekstrem negara. - BERNAMA

Artikel Lain