suria

Wajah Baru Harimau Malaya Bakal Kelirukan The Lions

KUALA LUMPUR: Ketika skuad Singapura, The Lions, bermain psikologi dengan memperkecilkan kemampuan pasukan Harimau Malaya, pasukan dari seberang tambak itu perlu menyedari, mereka kini berdepan skuad baru Malaysia.

Kali terakhir pasukan senior kedua-dua negara bertemu di padang ialah pada perlawanan persahabatan yang berlangsung pada November 2008 dengan keputusan 2-2.

Ketika itu, skuad kebangsaan Malaysia dibimbing oleh B.Sathianathan sementara Singapura dikendalikan oleh jurulatih dari Serbia, Radojko Avramovic.

Pasukan junior kedua-dua negara bagaimanapun pernah bertembung beberapa kali terutama dalam saingan Sukan SEA dan kejohanan lain seperti Piala Tiger (kini ialah AFF).

Sabtu ini, skuad senior kedua-dua negara akan bertemu lagi pada perlawanan kelayakan Pra Piala Dunia 2014 bagi Zon Asia yang akan berlangsung di Stadium Jalan Besar di republik itu sebelum perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai.

Berbanding The Lions yang menggunakan khidmat beberapa pemain import yang telah diberikan kerakyatan segera di bawah program "Singapore Foreign Talent Scheme", skuad Harimau Malaya dibarisi oleh anak tempatan yang terdiri dari gandingan pemain senior dan junior.

Di antara pemain import Singapura ialah Egmar Goncalves dari Brazil, Mirko Grabovac (Croatia), Qiu Li, Shi Jiayi (China), Itimi Dickson (Nigeria), Mustafic Fahrudin dan Aleksandar Duric (Yugoslavia).

Bagaimanapun, untuk perlawanan Sabtu ini, Avramovic dilaporkan akan menurunkan Aleksandar, Mustafic, Qiu Li and Shi Jiayi.

Daripada 24 pemain yang disenaraikan Rajagobal untuk perlawanan Sabtu ini, hanya empat pemain yang sama berada dalam skuad Sathianathan ketika perlawanan 2008 itu.

Empat pemain tersebut ialah Mohd Asruddin Putra Omar, Mohamad Aidil Zafuan, Mohd Safee Mohd Sali dan Mohd Amirulhadi Zainal.

Sementara pasukan The Lions yang turut membariskan 24 pemain Sabtu ini, jelas bergantung kepada tenaga lama.

Daripada 24 pemain tersebut, 10 pemain adalah dari skuad yang sama pada perlawanan 2008.

Mereka ialah Lionel Lewis, Daniel Bennet, Juma'at Jantan, Ismail Yunos, Afiq Yunos, Shahril Ishak, Shia Jiayi, Isa Halim, Aleksandar Duric dan Qiu Li.

Tidak hairanlah kajian sebuah laman web bola sepak menyatakan purata umur pemain skuad senior Singapura ialah 27.82 sementara Malaysia ialah 24.23.

Singapura juga masih menggunakan khidmat Avramovic sementara Harimau Malaya kini dibimbing oleh jurulatih yang menjulang bola sepak Malaysia dengan menjuarai Sukan SEA 2009 di Laos serta kejuaraan Piala Suzuki AFF 2010, Rajagobal.

Kejayaan Rajagobal, 55, mengemudi skuadnya bagaimanapun dipandang sinis oleh Avramovic.

Beliau yang dipanggil Raddy dilaporkan berkata dalam sebuah laman web bahawa Malaysia akan menjadi mangsa kepada kejayaan mereka.

"Siapa juara bertahan ASEAN? Saya fikir mereka menghadapi tekanan kerana mahu membuktikan mereka layak mendapat gelaran itu dan bahawa mereka bukan menang kerana bernasib baik," kata rakyat Serbia yang berumur 61 tahun itu.

Berdasarkan corak persembahan skuad Rajagobal ketika pertemuan dengan dua pasukan ternama Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dan Liverpool, jelas semangat skuad Harimau Malaya begitu teruja untuk mencari kemenangan.

Tambahan pula, berdasarkan rekod, Malaysia tidak pernah melepasi pusingan kedua Pra Kelayakan Piala Dunia yang terdahulu dan skuad senior yang ada kini merupakan pasukan terbaik untuk berbuat demikian. Berdasarkan rentetan kejayaan serta semangat juang tinggi, Harimau Malaya pastinya mahu menumpaskan The Lions di gelanggang mereka sendiri, Singapura. - BERNAMA

Artikel Lain