suria

Pasukan Hoki Bawah 20 Tahun Jelajah Eropah

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki negara bawah 20 Tahun akan bermain menentang pasukan Eropah sempena Jelajah Eropah mulai esok hingga akhir bulan ini.

Setiausaha Agung Persekutuan Hoki Malaysia (MHF) Maninderjit Singh berkata 19 pemain akan bermain sebanyak sembilan perlawanan, tiga permainan menentang Jerman, dua menentang Belanda dan empat menentang England.

"Pemain kita akan menentang pasukan bawah 21 Tahun ketiga-tiga negara ini.

Ia sebahagian daripada persediaan kita untuk menyertai kejohanan Remaja Piala Dunia di India dari 2 hingga 17 Nov 2013," katanya, Isnin.

Dalam edisi 2009 kejohanan tersebut yang diadakan empat tahun sekali, Malaysia dan Singapura menjadi hos bersama yang Jerman muncul juara selepas mengalahkan Belanda 3-1.

Malaysia pula di bawah bimbingan jurulatih K. Rajan menduduki tempat ke-12 daripada 20 pasukan yang bertanding, selepas kalah 2-3 kepada Belgium dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Hoki Taman Daya di Johor Baharu.

Skuad bawah 20 Tahun sekarang yang dilatih oleh Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dijangka menunjukkan permainan yang lebih baik selepas skuad senior negara merangkul pingat perak di Sukan Asia di China tahun lalu.

Para pelatih terdiri daripada:

Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri, Shazrul Imran Nazli, Muhammad Sabri Mohamed, Mohammad Noor Faeez Ibrahim, Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah, Arief Iskandar Khamdan, Mohd Fitri Saari, Muhammad Rahid Baharom.

Muhammad Taufik Abd Hamid, Muhammad Azrul Hasbullah, Amir Farid Ahmad Fuzi, Mohamad Syamim Mohd Yusof, Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin, Mohd Zulhairi Hashim, Muhammad Ramadan Rosli, Muhammad Haziq Samsul, Nor Hizzat Sumantri, Muhammad Fariq Saadon dan Dedy Aryadi Jumaidi.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain