suria

FAM Tubuh Kembali Skuad Wanita Menjelang Akhir Tahun Ini - Annuar

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menubuhkan kembali skuad wanita kebangsaan menjelang akhir tahun ini selepas skuad tersebut dibubarkan pada Mac lalu.

Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa, berkata dalam usaha menghidupkan semula skuad itu, satu karnival bola sepak wanita selama seminggu akan diadakan di Shah Alam, Selangor, pada 22 Julai ini bagi memilih bakat baru.

Katanya FAM akan memilih 40 pemain wanita untuk menyertai skuad kebangsaan baru selepas kali terakhir menyertai Sukan SEA Laos pada 2009.

"Karnival berkenaan akan menjadi medan bagi FAM mencari bakat baru dan membentuk pasukan wanita kebangsaan yang lebih mantap," kata Annuar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, kepada Bernama, di sini Ahad.

Justeru itu, beliau mempelawa semua kelab bola sepak wanita di seluruh negara menghantar pasukan masing-masing untuk karnival tersebut.

Setakat ini, beliau berkata lapan negeri telah mengesahkan penyertaan pada karnival itu.

Annuar, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), berkata FAM akan melantik panel pemilih khas bagi membentuk pasukan wanita itu bagi memastikan hanya pemain terbaik dipilih mewakili negara.

Selain itu, katanya, bermula tahun depan, FAM akan memperkenalkan Liga Bola Sepak Wanita membabitkan pasukan negeri bagi mewarnai kalendar Liga Malaysia (Liga M).

"Kita akan buka peluang sehingga Oktober ini untuk negeri-negeri mendaftar bagi menyertai pertandingan Liga Wanita tahun hadapan," katanya.

Annuar berkata FAM akan menyelaraskan Liga Wanita itu dengan Liga M di mana Liga M musim 2012 akan bermula Januari depan dengan pendaftaran bermula 1 November ini.

Beliau juga optimis pasukan wanita negara yang akan dibentuk nanti mampu menyegarkan persada bola sepak negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain