suria

Atlet Perlu Perkasakan Iman - Raja Muda Perlis

KANGAR: Golongan atlet perlu memperkasakan iman bagi memastikan mereka kekal sebagai ahli sukan sejati, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah dengan kekuatan iman itu, mereka dapat mengindari gaya hidup tidak sihat termasuk penggunaan dadah, terbabit dengan kegiatan bookies dan bersifat boros.

Bertitah merasmikan pertandingan bina badan Mr Zon Utara dan Mr Perlis 2011 di Dewan Kapitol di sini malam tadi, baginda bertitah gaya hidup tidak sihat akan melenyapkan impian mereka untuk menjadi ahli sukan yang cemerlang bagi jangka panjang.

Baginda berharap para atlet tidak memilih pil tambahan yang diharamkan terutama steroid semata-mata untuk meningkatkan stamina bagi memburu kejuaraan kerana kesannya adalah buruk.

"Bersukanlah dengan mengamalkan gaya dan cara hidup yang sihat. Jangan hanya semata-mata mementingkan kemenangan, cara dan etika yang salah digunakan," titah baginda.

Sementara itu, anggota tentera Zulkifli Ariffin dari Lumut, Perak muncul juara Mr Zon Utara manakala Chin Ong Peng menjuarai Mr Perlis kategori 75 kilogram, Ari Chandra a/l Kandasami (65-75 kilogram), Hildy Joseph (bawah 65 kilogram) dan Hariz Abdullan (junior). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain