suria

32 Pasukan Sertai Kejohanan Sepak Takraw Dunia Istaf 2011

KUALA LUMPUR: Sebanyak 32 pasukan dari 25 buah negara akan mengambil bahagian pada Kejohanan Sepak Takraw Dunia, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 2011 yang buat julung kalinya diadakan di sini bermula 21 hingga 24 Julai ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail berkata matlamat kejohanan itu adalah untuk menjadikan sepak takraw sebagai sukan global dan bukan lagi dikenali sebagai sukan kampung.

"Kejohanan ini buat pertama kalinya akan dijadikan sebagai penentu kepada kedudukan sesebuah negara dalam ranking dunia di samping kejohanan sepak takraw super series yang lain," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk Kejohanan Sepak Takraw Dunia Istaf 2011.

Beliau berkata antara 25 buah negara yang mengambil bahagian ialah Australia, China, Taiwan, Jerman, Iran, India, Indonesia, Amerika Syarikat, Oman, Perancis, Korea Selatan, Thailand dan Laos.

Ahmad berkata kejohanan tersebut akan disiarkan ke 66 buah negara dan dianggarkan seramai 750 juta penonton seluruh dunia akan menyaksikan perlawanan tersebut dalam bentuk secara langsung dan siaran tertunda.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan hadir untuk merasmikan kejohanan tersebut di Stadium Titiwangsa di sini pada 20 Julai nanti.

Sementara itu, Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader berkata untuk memajukan sukan sepak takraw, persatuan perlu berani melakukan perubahan dan menerima kritikan jika benar-banar ingin menjadikan sukan tersebut sebagai sukan global.

"Dalam usaha untuk memberi nafas baru kepada sukan sepak takraw pada kejohanan dunia nanti kita telah menukar warna gelanggang daripada hijau kepada warna merah.

"Kita juga akan memperkenalkan jersi baru khas untuk pemain dalam usaha untuk membina identiti sendiri bagi sukan sepak takraw," katanya.

Beliau berkata sukan sepak takraw perlu ada identiti sendiri agar masyarakat dunia dapat mengenali dan berminat denganya.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain