suria

Atlet Angkat Berat Olimpik Uji Prestasi Di Kejohanan Dunia

GEORGE TOWN: Kejohanan Angkat Berat Remaja Lelaki ke-37 dan Remaja Wanita Ke-17 Dunia di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA)dari 30 Jun hingga 7 Julai, dijangka menjadi pentas untuk atlet angkat berat Olimpik negara menguji prestasi sebelum Sukan Olimpik London 2012.

Kejohanan itu menarik penyertaan dari lebih 76 negara.

Penganjur Pertandingan, Paul Coffa berkata kejohanan itu merupakan acara kedua terbesar dalam sukan angkat berat selepas kejohanan senior dunia.

"Ini adalah kejohanan penting dan ia akan bertindak sebagai kelayakan Olimpik 2012 bagi atlet angkat berat untuk menempah tiket ke London," katanya kepada pemberita sebelum mesyuarat jawatankuasa penganjur di sini, Isnin.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Pulau Pinang Lydia Ong Kok Fooi dan anggota Lembaga Eksekutif Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) Datuk Ong Poh Eng.

Beliau berkata antara negara angkat berat terkemuka yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu ialah China, Russia, Turki, Kazakhstan dan Armenia.

"Saya yakin akan terdapat beberapa rekod baru dunia akan dicipta di sini. Setakat ini, 650 atlet dan pegawai telah mengesahkan penyertaan dan kami menjangkakan angka itu mencecah kira-kira 700 dalam beberapa hari akan datang," katanya.

Poh Eng yang juge pengerusi jawatankuasa penganjur berkata kejohanan itu dianjurkan oleh Persatuan Angkat Berat Amatur Pulau Pinang dengan kerjasama Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Majlis Sukan Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Katanya sepanjang kejohanan itu, perkhidmatan bas disediakan setiap hari untuk peserta dan pegawai untuk lawatan ke destinasi pelancongan utama dan tapak warisan di sini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain