suria

Malaysia Perlu Ada Liga Badminton Sendiri: Chong Wei

KUALA LUMPUR: Pemain badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mahu Malaysia mencontohi Indonesia dan China untuk menganjurkan saingan liga sendiri bagi menarik penyertaan pemain ternama serta memajukan arena badminton negara.

"Kita patut ada saingan liga sendiri kerana kita dapat menilai kemampuan atlet dengan pemain dari negara lain. Mungkin, penganjuran itu dapat memajukan sukan badminton di negara ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media kempen 'Hope & Smile' di sini, Khamis.

Menurutnya, memandangkan tempoh persediaan ke Sukan Olimpik, London tinggal setahun lebih saja lagi, cadangan mewujudkan liga sendiri hadir tepat pada waktunya.

"Liga seperti ini bagus untuk memberikan persediaan kompetitif kepada pemain sebelum menghadapi kejohanan lebih besar. Tahun ini dan tahun depan lagi sukar. Kami perlu menyertai banyak pertandingan sebelum beraksi di Sukan Olimpik," ujarnya.

Mengulas mengenai penyertaannya dalam saingan Liga Super China baru-baru ini, Chong Wei berkata, ia satu pengalaman yang bagus dan banyak mengajarnya mengenai perkara baru dalam menyesuaikan diri di tempat orang.

"Saya banyak belajar perkara baru ketika menyertai saingan di Indonesia dan China. Sepanjang tiga perlawanan di China, saya bergaul dengan pemain baru malah penonton di sana lagi ramai dan lebih agresif.

"Saingan di Indonesia dan China jauh berbeza kerana Liga Super Indonesia hanya berlangsung selama seminggu manakala Liga Super China pula memakan masa selama tiga bulan," jelasnya.

Sementara itu, pemain kelahiran Pulau Pinang tersebut turut berharap agar bekas jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek kembali bekerjasama dengan beliau bagi memastikan persiapan ke Sukan Olimpik tidak terjejas.

"Jurulatih amat penting untuk saya pada ketika ini. Saya tetap akan menunggu beliau (Misbun) dan berharap agar dapat bekerjasama semula dengannya. Mungkin ada beberapa urusannya yang belum selesai," katanya.

Oleh kerana Misbun hanya akan memberi keputusannya pada 1 April depan, Chong Wei berkata beliau tetap fokus pada latihannya bagi mempersiapkan diri untuk Kejuaraan Dunia pada Ogos.

"Saya ada tanggungjawab lebih besar. Jadi saya tidak boleh berhenti berlatih. Sebaliknya saya perlu bekerja keras dan meneruskan latihan seperti biasa," jelasnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain