suria

Robbie Fowler Sahkan Penyertaan Dalam Kejohanan Di Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Bekas penyerang Liverpool Robbie Fowler merupakan nama besar arena bola sepak yang baru mengesahkan penyertaan dalam kejohanan bola sepak Piala Malaysia Masters Liga Perdana Inggeris 2011, anjuran Standard Chartered yang dijadualkan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 13 Mac ini.

Ketua Pegawai Pemasaran Football Focus Asia Gavin O'Luanaigh berkata empat pasukan yang akan berentap dalam kejohanan itu nanti ialah Liverpool Masters, Manchester United Masters, EPL All Stars Masters dan Malaysian Masters.

Beliau berkata pasukan-pasukan hebat ini akan mengambil bahagian dalam kejohanan tertutup enam sebelah yang tersohor itu, yang sudah berlangsung dan mendapat sambutan di United Kingdom sejak lebih 10 tahun.

"Selain bintang dari Liverpool FC, peminat bola sepak juga pasti tidak mahu lepaskan peluang untuk melihat aksi pemain ternama seperti Andrew Cole, Gaizka Mendieta, Jesper Blomqvist, Patrik Berger dan Faustino Asprilla yang turut mengambil bahagian," katanya.

Beliau berkata pasukan Malaysian Masters akan dibarisi bekas pemain kebangsaan seperti Mazlan Wahid, Yap Kam Choon, K.Gunalan, Ahmad Shahrul Azhar, Shahrin Majid, Azrin Shah Zainal, See Kin Seng, P.Somasundram, Anuar Abu Bakar, Ghani Malek, Khan Hung Meng dan Zainal Abidin Hassan.

Fowler, 36, menyertai Liverpool FC pada 13 Januari 1993 dan menjaringkan 183 gol semasa berada dalam pasukan itu, menjadikan dia sebagai salah seorang penjaring terbanyak kelab, meletakkan dia sebagai penjaring gol keempat terbanyak dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, sila layari laman web www.fatdeal.com.my dan peminat bola sepak dinasihati melawat www.footballfocusasia.com atau hubungi Sabrina di Football Focus dengan menelefon 03-79549094.

Artikel Berikut

Artikel Lain