suria

Yayasan Sultanah Bahiyah Peruntuk RM25,000 Untuk Sukan Lasak Remaja

ALOR SETAR: Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB)memperuntukkan RM25,000 untuk dua jenis sukan remaja iaitu sukan lasak dan paintball bagi membantu pasukan-pasukan itu menyertai sebarang pertandingan sepanjang tahun ini.

Pengerusi Pembangunan Remaja YSB Dr Kamaruzaman Ali berkata daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM10,000 diberikan kepada pasukan sukan lasak YSB dan RM15,000 lagi untuk pasukan paintball YSB iaitu YSB Sharp Shooters.

"Seramai 10 remaja yang menceburi sukan lasak iaitu BMX Flatland, BMX Stunt, Skateboard dan motocross serta 10 remaja lagi menerima tajaan hari ini," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Tajaan YSB di sini pada Sabtu.

Beliau berkata YSB telah menaja sukan remaja lasak sejak tujuh tahun lepas, manakala untuk pasukan paintball, ini adalah kali pertama sejak sukan itu diperkenalkan pada tahun lepas.

"YSB turut memperuntukkan sebanyak RM347,000 bagi menjayakan pelbagai program lain kepada golongan remaja di bawah Projek Titian Ehsan (PTE)sepanjang tahun 2011.

"Antara prgram yang dirancang untuk para remaja di bawah program itu ialah karnival sukan remaja, perahu panjang, kem alam sekitar, kem pendidikan kesihatan remaja dan program skatepark YSB-Rakan Muda," kata Kamaruzaman.

Beliau berkata PTE ditubuhkan bagi membantu para remaja mengisi masa lapang dengan program-program yang sihat dan dapat memberi peluang kepada mereka mengasah bakatnya sehingga ke luar negara.

Pihak yang berminat untuk menyumbang dan menjayakan aktiviti kebajikan YSB atau menaja pasukan lasak dan paintball YSB boleh berbuat demikian dengan menghubungi YSB di talian 04-7304112 atau melayari laman web www.ysb.org.my/u dan setiap sumbangan akan mendapat resit pengecualian cukai pendapatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bendtner Mungkin Tinggalkan Arsenal

Artikel Lain