suria

Santokh Singh Dan Sabiamad Terima Gelaran Datuk Sempena Hari Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Dua bekas atlet kebangsaan, pemain bola sepak Santokh Singh Gurdial Singh dan penembak Sabiamad Abdul Ahad dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2011.

Mereka antara 256 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan pada istiadat pengurniaan yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri Istana Melawati di Putrajaya.

Santokh, 59, yang berpasangan dengan Datuk Soh Chin Aun pada era kegemilangan mereka, disifatkan sebagai pasangan pertahanan terbaik di Asia pada era 1970-an.

Beliau pernah bermain bersama legenda bola sepak negara seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, mendiang R.Arumugam dan Chin Aun pada 1970-an dan 1980-an, pernah beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972 dan membantu Malaysia layak ke Olimpik Moscow pada 1980.

Sehingga kini, Santokh masih lagi cergas beraksi di padang terutama dalam perlawanan yang melibatkan pemain veteran.

Sabiamad, 55, pula beraksi sebagai penembak kebangsaan dari 1981 hingga bersara pada awal 1990-an.

Ketika zaman kegemilangannya, Sabiamad mengungguli acara Air Pistol di peringkat Asia Tenggara terutama dalam acara Central Pistol, Rapid Pistol dan Standard pistol.

Selepas tidak lagi aktif sebagai penembak kebangsaan, beliau yang kini menjadi ahli perniagaan, pernah menjadi pengurus pasukan negara ke beberapa kejohanan antarabangsa.

Selain dua atlet itu, beberapa pentadbir dan ahli sukan turut menerima pingat iaitu ketua jurulatih wushu Putrajaya Ho Ro Bin yang menerima pingat Johan Mahkota Wilayah (JMW).

Tiga lagi menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) iaitu P.Arivalagan (jurulatih karate kebangsaan), V.Rajamanickam (setiausaha Persatuan Hoki Kuala Lumpur) dan Oh Poh Soon (ketua jurulatih wushu Wilayah Persekutuan).

Setiausaha kehormat Persatuan Bola Baling Kuala Lumpur S.Jayapalan dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) manakala jurulatih Persatuan Olahraga Amatur Kuala Lumpur, S.Arunandy dan penolong bendahari Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur P.Chandran mendapat Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW). - BERNAMA

Artikel Lain