suria

Azizulhasni Azam Tebus Kecewa

PUTRAJAYA: Selepas gagal membawa pulang sebarang pingat pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tahun lalu, jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang kini memasang impian lebih tinggi untuk memenangi sekurang-kurangnya satu acara dalam kejohanan sama yang akan berlangsung di Nakhon, Thailand, 9 Februari ini.

"Saya akan cuba untuk menang satu acara pada kejohanan itu memandangkan ia gagal dilakukan pada tahun lalu," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) dan 100 PLUS di sini pada Isnin.

Malah Azizulhasni mahu dijauhkan daripada sebarang insiden sepanjang perlumbaan itu kerana permukaan trek velodrom di Korat yang agak teruk.

"Saya berharap agar tidak berlaku kemalangan kerana jika cedera, ia akan mengambil masa lama untuk pulih," ujarnya.

Menurut pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, acara keirin kini berada di kedudukan selamat untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012 di London manakala peluang acara pecut masih 50/50.

"Saya berjaya melayakkan diri dalam acara individu pada Kejuaraan Dunia di Belanda, Mac ini. Jadi jika kita menang medal pada ACC barulah kedudukan kita betul-betul selamat," tegasnya.

Mengakui pasukan negara pasti menerima saingan sengit daripada pencabar terdekat seperti China dan Jepun, Azizulhasni mahu mengerah tenaganya untuk memberikan keputusan terbaik bagi mengumpul mata untuk temasya empat tahun sekali itu.

"Jika dibandingkan dengan China dan Jepun, Malaysia masih berada di tengah-tengah. Jadi kami perlu berusaha lebih keras untuk mengutip mata bagi melayakkan pasukan," jelas pelumba yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocketrocketman’.

Sebagai persediaan awal dalam acara pecut berpasukan, pelumba berusia 23 tahun itu berkata, jurulatih kebangsaan, John Beasley turut mencuba kombinasi baru daripada barisan sedia ada sebelum ini.

Setakat ini, empat pelumba negara, Azizulhasni, Josiah Ng, Mohd Rizal Tisin dan Mohd Edrus Yunus menggalas cabaran besar dalam usaha memburu sebutir pingat untuk negara dalam acara pecut berpasukan.

Menurut Azizulhasni, jika diberi pilihan, beliau mahu berada di posisi kedua dengan gandingan bersama Edrus (pelumba pertama) dan Rizal (ketiga) dalam acara pecut berpasukan berdasarkan pencapaian cemerlang yang dicatatkan pada kejohanan di Melbourne baru-baru ini.

"Namun kami tidak tahu kombinasi mana yang akan diturunkan kelak. Segala keputusan terletak di tangan Beasley," tambahnya.

Sementara itu, Josiah turut berazam menghadiahkan keputusan cemerlang kepada negara pada kejuaraan ACC dan Piala Dunia Klasik di Manchester, 15 Februari ini.

Walaupun masyarakat Tionghoa akan meraikan Tahun Baru Cina, Khamis ini, ia tidak menjadi alasan kepada pelumba berusia 31 tahun itu untuk meneruskan latihan seperti hari biasa.

"Keluarga saya berada di Amerika Syarikat (AS), jadi saya tidak akan meraikan Tahun Baru China bersama mereka. Saya tetap berlatih seperti biasa," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anuar Tekad Untuk Bangkit

Artikel Lain