suria

Wujudkan Tabung Khas Bagi Skuad Juara Piala Suzuki

TAIPING: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diminta mewujudkan satu tabung khas bagi menyimpan sebahagian imbuhan yang disumbangkan kerajaan dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada pemain pasukan kebangsaan yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Anggota Jawatankuasa Pengurusan FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata walaupun sumbangan itu diberi kepada mereka atas sumbangan yang diberikan, adalah perlu ia disimpan bagi memastikan masa depan pemain.

"Keseluruhan skuad ini masih terlalu muda dan kita tidak mahu mereka gelap mata dan membelanjakan kesemua wang itu...kita tidak mahu mereka tersepit dengan pelbagai masalah hingga menyebabkan mutu permainan merosot di masa depan.

"Kemantapan dan prestasi mereka perlu dikekalkan...perjalanan mereka masih jauh kerana akan memikul tugas dalam pelbagai kejohanan termasuk kelayakan Olimpik dan Piala Dunia," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Raja Ahmad Zainuddin berkata beliau terpanggil memberikan pandangan berkenaan kerana ganjaran yang diperoleh pemain agak banyak berbanding yang diterima pemain negara yang bermain di sukan Olimpik pada tahun 1972 dan 1980. Beliau berkata adalah wajar jika sebahagian ganjaran itu dapat dikumpul dalam tabung khas berkenaan dan ia dikembalikan selepas mereka bersara kelak.

Dalam perkembangan lain, Raja Ahmad Zainuddin berkata pemain bola sepak negara perlu diberi peluang dan ruang untuk keluar bermain bersama kelab-kelab di Eropah bagi memberikan mereka lebih pendedahan dan pengalaman.

"Ia lebih baik dan cepat berbanding melatih mereka di sini kerana kita akui mutu permainan di Eropah lebih tinggi dan jauh di hadapan," katanya.

Beliau berkata sebagai contoh Akmal Rizal Rakhli yang pernah bermain dengan pasukan luar telah menunjukkan prestasi lebih baik selepas pulang ke negara ini.

"Harga yang dibayar untuk menggilap seorang pemain baru bukanlah murah dan mudah tetapi untuk meningkatkan prestasi pemain, mereka perlu berkorban dan menimba ilmu di tempat yang lebih baik dan sepatutnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain