suria

Ahmad Shabery Akan Mengadakan Pertemuan Enam Mata Dengan Misbun, BAM

KUCHING: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan mengadakan pertemuan enam mata untuk memulihkan keadaan berhubung kontroversi peletakan jawatan jurulatih perseorangan Datuk Misbun Sidek sebelum Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia bermula minggu depan.

Menurutnya, beliau akan menguruskan pertemuan tersebut di antara bekas jaguh perseorangan negara itu dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh sebaik sahaja beliau balik dari lawatan rasmi dua hari ke Sarawak untuk meninjau projek kementeriannya di sini.

"Malam tadi saya telah berjumpa dengan Misbun, yang telah sempat mencurahkan rasa hatinya tentang beberapa perkara yang menjadi berbezaan di antara beliau dan BAM," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Akuatik Negeri, benilai RM33 juta di Kompleks Belia dan Sukan di sini, Khamis.

Bagaimanapun Ahmad Shabery enggan menyatakan hasil pertemuan beliau dengan Misbun sebelum mengadakan satu dialog dengannya dan Mohd Nadzmi sebagai wakil kerajaan bertanggungjawab untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau juga enggan memberitahu punca keputusan mengejut Misbun meletakkan jawatan pada 31 Disember lepas, yang telah disentuh oleh jurulatih itu kerana sehingga sekarang kedua-dua pihak tidak menghuraikan tentang perselisihan mereka kepada umum.

"Sudah tentu apabila berlaku luka, ia akan mengambil masa untuk menjernihkan suasana," kata Ahmad Shabery, yang diminta menyelesaikan perkara itu semasa pertemuannya dengan Mohd Nadzmi di Putrajaya semalam.

Sementara itu, beliau berkata pusat akuatik tersebut, yang dibina oleh kementeriannya dijangka beroperasi pada November tahun ini.

Beliau yakin ia akan menjadi satu tempat yang dapat dibanggakan oleh penduduk Sarawak, yang merupakan sebuah negeri yang paling banyak menyumbang kepada jaguh sukan, khasnya dalam bidang akuatik renang dan terjun.

"Jadi amat sesuai sekali Sarawak memiliki satu pusat akuatik yang terbaik di luar Kuala Lumpur yang boleh menjana lebih banyak minat orang Sarawak untuk terlibat dalam bidang ini serta melahir ramai lagi ikon negara dalam bidang ini," katanya sambil menambah bahawa ikon seperti Daniel Bego telah memberi inspirasi baru kepada ramai anak muda tempatan.

Selain kolam akuatik, pusat itu dilengkap dengan asrama lelaki dan perempuan serta kemudahan untuk menjalankan kegiatan belia yang lebih moden dan cangih.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ferguson Belum Puas Hati

Artikel Lain