suria

Peminat Serbu Stadium Bukit Jalil, Tiket RM50 Habis Dijual

KUALA LUMPUR: Kira-kira 3,000 tiket berharga RM50 untukperlawanan akhir pertama Piala AFF-Suzuki 2010 di sini Ahad ini habis dijual pagi Khamis ekoran para penyokong Malaysia dan Indonesia menyerbu Stadium Nasional Bukit Jalil seawal 9 pagi.

Kaunter tiket dibuka pada pukul 10 pagi.

Ekoran itu para peminat yang mahu mendapatkan tiket berharga RM50 pulang hampa apabila tiket sudah kehabisan.

"Saya tiba dari Indonesia semalam dan agak hampa bila saya tidak dapat membeli tiket berharga RM50 di kedutaan Indonesia dan saya diminta untuk mendapatkannya di sini (Stadium Nasional), tetapi di sini juga sudah habis," kata Ali dari Bakasi, Indonesia.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperuntukkan 70,000 keping tiket berharga RM30 dan 2,500 tiket berharga RM50 untuk penyokong Malaysia yang mula dijual di Stadium Nasional pagi ini.

Sejumlah 15,000 tiket lagi berharga RM30 dan 500 tiket berharga RM50 diperuntukkan pula kepada penyokong Indonesia yang bekerja di negara ini.

Tiket-tiket turut dijual di kaunter khas yang dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Jalan Tun Razak di sini.

Ramai penyokong pasukan negara datang awal untuk membeli tiket perlawanan akhir itu.

"Saya tidak mahu mendapatkan tiket di saat-saat akhir, jadi saya datang awal di sini untuk dapatkan tiket. Nasib baik tidak ramai orang lagi maka senang untuk dapatkan tiket," kata pelajar berusia 19 tahun, Mohd Firdaus Ismail kepada Bernama.

Dalam keghairahan penyokong-penyokong Malaysia mendapatkan tiket, timbul juga rasa tidak puas hati di kalangan mereka kerana terdapat penyokong Indonesia turut mendapatkan tiket yang dikhaskan untuk penyokong Malaysia di Stadium Nasional.

"Pihak pengurusan FAM perlu lebih telus dalam perkara ini. Jika mereka kata kena tunjuk kad pengenalan sebelum beli tiket, buat sahajalah untuk buktikan rakyat Malaysia yang beli tiket di sini (Stadium Nasional).

"Mereka jual sahaja tiket tanpa meminta kad pengenalan. Kalau macam ini senang-senang sahaja mereka (penyokong Indonesia) boleh beli tiket di sini," kata Mohd Azlan Abdul Halim.

Seorang lagi penyokong Malaysia, R. Balan turut sependapat mengenai pekara ini.

"Mereka (FAM) perlu lebih tegas dalam pekara ini. Selain itu, FAM sepatutnya juga mengehadkan jumlah tiket yang hendak di beli. Kalau tidak, mungkin akan diambil kesempatan oleh ulat-ulat tiket untuk membeli dengan banyak dan jual semula dengan harga yang tinggi," katanya.

Perlawanan akhir kedua akan berlangsung di Jakarta pada 29 Disember.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain