suria

Kejohanan Futsal 72 Jam Sasar 5,000 Pasukan

KUALA LUMPUR: Kejohanan futsal 'The King Of Street' yang akan berlangsung selama 72 jam tanpa henti mulai 31 Disember ini bakal menempa nama dalam Malaysia Book of Records sebagai pertandingan seumpamanya yang terbesar dan paling lama dijalankan.

Pengerusi jawatankuasa penganjuran Mohd Irwan Rizal berkata kejohanan itu, anjuran Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan Belia Malaysia dan Perbadanan Putrajaya, akan diadakan di Persiaran Perdana Putrajaya sempena menyambut tahun baru 2011.

"Dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 pasukan, penganjur optimis pertandingan pertama kali dianjurkan di Malaysia ini akan mendapat sambutan menggalakkan sekaligus membolehkannya dicatat di dalam Malaysia Book Of Records," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Empat kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Lelaki Bawah 18 Tahun dan Lelaki Bawah 12 Tahun.

Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000 selain pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah bernilai RM10,000, persembahan 'Battle Of The Band' dan 'Freestyler Football'.

Pasukan berminat menyertai kejohanan itu boleh menghubungi Nik Muhd Radzi di talian 019-3519934, Sulaiman (016-9122519) atau Rania (016-9122437).-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain