suria

Aricco Pakai Baju Salah Pada Final, Akui Kesilapan

NEW DELHI: Badang emas negara Aricco Jumith mengakui berlaku kesilapan dalam pakaian yang dikenakan semasa membuat angkatan dalam acara angkat berat pada Sukan Komanwel di sini Selasa lalu.

Atlet kelahiran Sabah itu dilihat memakai baju berwarna hitam dengan logo bendera Sabah tertera jelas di sebalik mengenakan baju pertandingan rasmi yang dibekalkan oleh kontinjen Malaysia.

"Saya mempunyai dua set pakaian sukan, satu dengan loga Jalur Gemilang dan satu lagi dengan logo bendera Sabah yang saya gunakan untuk latihan. Pada hari pertandingan, saya membawa pakaian dengan logo bendera Sabah secara silap.

"Saya hanya sedar kesilapan itu semasa menukar pakaian sebelum pertandingan bermula dan ianya sudah lewat untuk saya kembali semula ke perkampungan sukan untuk menukar pakaian.

"Saya tidak dapat pulang ke perkampungan sukan kerana jaraknya jauh dari venue pertandingan. Ianya kesilapan saya...apa saya boleh buat," kata Aricco kepada Bernama di sini Jumaat.

Bagaimanapun, timbul persoalan bagaimana enam pegawai Malaysia di venue pertandingan di Kompleks Sukan Jawaharlal Nehru gagal melihat kesilapan itu atau membantu atlet muda itu.

Aricco, 20, dari Kota Kinabalu, merangkul emas dalam kategori 62kg pada hari berkenaan.

Ketika diminta mengulas insiden pakaian itu, pengurus pasukan angkat berat negara, Zainuddin Joseph berkata beliau tidak sedar mengenai insiden itu.

"Saya tidak pasti apa yang dipakai oleh Aricco kerana saya berada di belakang...saya perlu memeriksa insiden ini," katanya.

Mengikut peraturan sukan antarabangsa, atlet diwajibkan memakai pakaian pertandingan rasmi dengan bendera negara masing-masing dan bukan pakaian dengan bendera negeri atau wilayah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain