suria

Azlan Mahu Gegar India, Cuba Jarak Kedudukan

Azlan berazam menjarakkan kedudukan seri bersama juara bertahan, Chalermpol Polamai.
Azlan berazam menjarakkan kedudukan seri bersama juara bertahan, Chalermpol Polamai.
Azlan berazam menjarakkan kedudukan seri bersama juara bertahan, Chalermpol Polamai.

PELUMBA yang menduduki tempat ketiga keseluruhan kelas SuperSports 600cc, Azlan Shah Kamaruzaman sedia untuk mengegar saingan pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Trek Lumba Motor Madras, India pada 20 hingga 22 Ogos ini.

Azlan mahu memberi sepenuh perhatian pada perlumbaan minggu ini bagi menjarakkan kedudukan seri bersama juara bertahan, Chalermpol Polamai dan memperbaiki kedudukannya dalam carta keseluruhan kelas premier tersebut.

Azlan, pelumba PETRONAS Yamaha Malaysia berkongsi kedudukan dengan Chalermpol (PETRONAS Yamaha Thailand) dengan 74 mata selepas mempamerkan prestasi hebat menamatkan dua cabaran di Litar Sentul, Indonesia di tempat kedua.

Mendahului senarai kedudukan ketika ini ialah rakan sepasukan Chalermpol, Decha Kraisart dengan 88 mata diikuti pelumba Australia, Glenn Allerton dengan 81 mata.

Sekalipun pelumba berusia 26 tahun itu tekad memberikan persembahan 110 peratus, namun Azlan masih berhati-hati dan tidak mahu terlalu yakin dan mengulangi kesilapannya pada musim lepas di mana dia terbabas dalam kedua-dua perlumbaan.

“Saya mengalami pengalaman pahit manis di India musim lalu. Saya mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan namun gagal menggunakan kelebihan itu selepas terlibat dengan insiden pada saingan pusingan ke-10.

“Perkara yang sama juga berlaku pada Perlumbaan 2, tetapi saya berjaya memacu semula jentera dan menamatkan saingan di tempat kelima. Harap-harap insiden musim lepas tidak berulang lagi kerana ia pasti mengecewakan,” ujar Azlan yang mempunyai misi besar di India.

Menurutnya, bagi perlumbaan ini dia mensasarkan untuk menaiki podium dan tidak mahu gagal dalam perebutan tempat terbaik itu.

Namun Azlan mengakui bahawa cabaran yang dilontarkan dua pelumba Thailand cukup sukar apatah lagi mereka kini berada dalam zon yang cukup selesa.

“Sasaran saya pada perlumbaan di India ialah menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik. Jurang antara empat dan lima pelumba terbaik ketika ini tidak begitu besar dan saya harap mampu mengekalkan rentak untuk terus menjadi tiga pelumba terbaik hingga akhir musim.

“Bagaimanapun, untuk mencapai sasaran podium, ia bukan perkara mudah memandangkan saya perlu berdepan dengan pencabar hebat terutamanya Decha dan Chalermpol.

“Kedua-dua pelumba cukup konsisten dan sentiasa berada di kelompok pendahulu. Untuk itu, saya perlu berhati-hati dan tidak melakukan sebarang kesilapan terutama pada sesi kelayakan," katanya.

Azlan berkata, penting bagi mana-mana pelumba berada di petak hadapan dan ia antara strategi yang dapat mengatasi lawan atau mengawal perlumbaan.

Selain pencabar negara luar, Azlan juga sudah pastinya menerima tentangan sengit daripada dua rakan sepasukan, Zamri Baba dan Ahmad Fuad Baharudin di India kelak.

Artikel Sebelum

Artikel Lain