suria

Anelka Setia Bersama Chelsea

BINTANG Chelsea, Nicolas Anelka (gambar) menandatangani kontrak lanjutan selama setahun di Stamford Bridge walaupun dihimpit kontroversi pada kempen Piala Dunia 2010 bersama skuad Perancis.

Kontrak baru itu akan menyaksikannya kekal bersama Chelsea sehingga musim panas 2012.

Penyerang berusia 31 tahun itu menjaringkan 42 gol dalam 138 penampilan sejak menyarung jersi The Blues dari Bolton Wanderers pada Januari 2008.

Meskipun masih bersedih kerana diarahkan meninggalkan kem Perancis di Afrika Selatan lebih awal, kontrak baru bersama juara Liga Perdana Inggeris musim lalu mengembalikan semula keyakinan Anelka.

"Sebaik saja menjejak kaki ke Chelsea saya mahu kekal lebih lama di sini berbanding kelab yang pernah saya sertai dulu.

"Chelsea adalah kelab besar. Saya amat menyayangi kelab ini begitu juga London. Tiada perpindahan lagi selepas ini. Saya gembira kerana memperbaharui kontrak di sini," katanya.

Menurut Pengurus Carlo Ancelotti, Anelka merupakan pemain hebat yang mempunyai corak permainan taktikal menakjubkan dan beberapa pergerakan menarik serta berkualiti.

"Sewaktu menjadi Pengurus Juventus saya ingin mendapatkan khidmatnya. Dia menerima kontrak baru adalah berita gembira buat Chelsea. Saya yakin Chelsea adalah destinasi terakhirnya," ujar Ancelotti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain