suria

Atlet Perlu Bijak Cari Sasaran Emas: Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Jarak 28 hari yang memisahkan tempoh berlangsungnya Sukan Komanwel di New Delhi, India dan Sukan Asia di Guangzhou, China tidak menjadi penghalang kepada atlet kebangsaan untuk beraksi cemerlang dalam kedua-dua temasya berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata masalah atlet terpaksa mencapai tahap prestasi kemuncak sebanyak dua kali dalam tempoh singkat, tidak timbul kerana mereka perlu bijak memilih temasya yang menjanjikan pungutan emas.

"Majlis Sukan Negara (MSN) dan jurulatih tentu telah memberikan panduan di temasya manakah mereka perlu meningkatkan prestasi, sama ada di Sukan Komanwel atau Sukan Asia," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Shabery melancarkan majlis Detik 100 hari menjelang Sukan Komanwel yang akan berlangsung dari 3 hingga 14 Oktober dan Sukan Asia dari 13 hingga 21 November.

Sebagai contoh, katanya skuad badminton berpeluang menyapu bersih kesemua pingat emas daripada Sukan Komanwel tetapi dijangka menghadapi tentangan kuasa besar badminton dunia seperti China, Korea Selatan dan Indonesia pada Sukan Asia.

Sukan skuasy, katanya dilihat lebih berpeluang meraih pingat di Sukan Asia berbanding Sukan Komanwel kerana saingan dari negara seperti Australia dan Mesir yang banyak melahirkan jaguh dunia.

"Jadi, atlet kena pilih temasya yang memberikan mereka lebih peluang untuk meraih emas," katanya.

Ahmad Shabery berkata bagi Sukan Komanwel, Malaysia akan menghantar antara 150 hingga 180 atlet untuk menyertai 13 daripada 17 sukan ditawarkan dengan tumpuan pungutan emas dalam acara angkat berat, badminton, boling padang, memanah dan skuasy.

Pada Sukan Asia, Malaysia dijangka menghantar 200 hingga 230 atlet untuk bertanding dalam 19 daripada 42 sukan ditawarkan dengan tumpuan kepada acara badminton, berbasikal, tenpin boling, pelayaran, skuasy dan wushu untuk mencapai sasaran emas.

Beliau berkata selain lima acara dalam Sukan Komanwel dan enam acara Sukan Asia yang menjadi sasaran emas, 12 lagi acara berpotensi untuk memberikan kejutan emas kepada kontinjen negara.

Sukan berkenaan adalah akuatik, ekuestrian, gimrama, hoki lelaki, karate, memanah, taekwondo, menembak, olahraga, ping-pong, sepak takraw dan tinju. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulfahmi Ingin Tebus Kekecewaan

Artikel Berikut

Artikel Lain