suria

Chong Wei Bertemu Pemain Tuan Rumah Di Terbuka Indonesia

JAKARTA: Dua pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei dan Wong Choon Hann akan berdepan pemain tuan rumah pada kejohanan badminton Terbuka Indonesia yang berlangsung di sini mulai semalam hingga Ahad ini.

Pemain nombor satu dunia, Chong Wei akan menentang Dionysius Hayom Rumbaka manakala Wong Choon Hann pula akan bertemu Yunus Alamsyah yang berjaya melepasi halangan di peringkat kelayakan.

Selain perseorangan negara, beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong juga bakal berentap dengan pasangan tuan rumah Luluk Hadiyanto-Candra Wijaya.

Jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky ketika ditemui yakin pemain-pemainnya tidak akan menghadapi kesulitan untuk mara ke peringkat suku akhir, di mana beliau menjangkakan akan berdepan pasangan dari Korea, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong.

Bagaimanapun, beliau enggan meletakkan sebarang harapan tinggi memandangkan anak buahnya kini masih dalam proses pemulihan selepas prestasi kurang memuaskan pada kejohanan Piala Thomas bulan lepas.

Sementara itu, Dionysius Hayom Rumbaka menjelaskan bahawa beliau kini lebih bersedia untuk menghadapi pemain nombor satu dunia memandangkan beliau telah memaksa Lee Chong Wei bermain sehingga tiga set sebelum tewas pada kejohanan Badminton Terbuka Singapura.

"Saya lebih percaya bertemu dia (Lee Chong Wei) sekarang kerana sudah melawan dia sebelumnya," katanya.

Yunus Alamsyah yang bakal berdepan Wong Choon Hann juga optimis dapat menewaskannya dengan mudah kerana prestasi Choon Hann yang dikatakan tidak sebaik dulu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain