suria

12 Pemanah Ke Sukan Komanwel Ditentukan Selepas Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Barisan akhir 12 pemanah kebangsaan yang akan menggalas cabaran negara ke Sukan Komanwel pada penghujung tahun ini akan diketahui selepas pusingan keempat Piala Dunia di Shanghai, China bermula 31 Ogos ini.

Jurulatih kebangsaan, Lee Jae-Hyung berkata 12 pemanah berkenaan terdiri daripada enam lelaki dan enam perempuan untuk bersaing dalam acara recurve (individu dan berpasukan) dan compound (individu dan berpasukan).

"Masa yang panjang ini membolehkan saya menilai prestasi semasa dan menentukan pemanah terbaik untuk beraksi di Sukan Komanwel," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sukan Komanwel di New Delhi, India akan berlangsung dari 3 hingga 14 Okt depan.

Beliau berkata sebahagian besar pemanah-pemanah kebangsaan kini terlibat dengan Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka dan akan kembali menjalani latihan pusat di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil dalam masa terdekat.

"Selepas itu mereka akan kembali bersaing di peringkat antarabangsa dengan menyertai pusingan ketiga Piala Dunia di Ogden, Amerika Syarikat yang dijadualkan pada bulan Ogos," katanya.

Mengenai sasaran skuad kebangsaan pada Sukan Komanwel itu, Jae-Hyung berkata beliau menyasarkan untuk meraih satu pingat emas seperti yang telah dinyatakan oleh Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) baru-baru ini.

Sasaran yang diletakkan oleh Jae-Hyung dan NAAM itu tampak realistik kerana saingan di peringkat Sukan Komanwel tidak terlalu tinggi kerana hanya negara-negara seperti India, England, Australia dan Kanada sahaja boleh menjadi penghalang.

Malah pada Kejohanan Ujian Antarabangsa Sukan Komanwel pada Mac lepas, pasukan recurve lelaki negara yang diwakili oleh Cheng Sian Chu, Fazu Hisham dan Ariff Farhan Putra berjaya meraih pingat perak manakala pasukan compound wanita memenangi gangsa.

Artikel Lain