suria

United Pancing Benzema, Vidic Mungkin Angkat Kaki

MANCHESTER United sekali lagi menyuarakan hasrat untuk membawa masuk penyerang Real Madrid, Karim Benzema tetapi mungkin kehilangan sentuhan berbisa, Nemanja Vidic pada musim panas ini.

Sir Alex Ferguson dilaporkan sudah memberi lampu hijau kepada Red Devils untuk membawa masuk penyerang Perancis itu selepas gagal menandingi Real Madrid, musim panas lalu.

United perlu mengekalkan Vidic pada musim panas ini walaupun dia boleh meninggalkan Old Trafford secara percuma pada 2012.

United yang enggan memenuhi nilai bidaan bernilai 35 juta pound (RM168.12 juta) ditetapkan Lyon tahun lalu, yakin mereka boleh menyempurnakan perpindahan pemain berusia 22 tahun itu selepas gagal memberi impak di Bernabeu.

Namun, United bimbang mereka gagal memujuk Vidic yang mendapat minat daripada seteru utama, Manchester City untuk terus kekal bersama pasukan itu.

City dilaporkan sanggup membayar gaji tiga kali ganda daripada yang diterima Vidic sebelum ini dan menawarkannya kontrak bernilai 200,000 pound (RM960,732) seminggu.

Jika perpindahan itu direalisasikan, Vidic akan menjadi pemain yang menerima gaji paling tinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).

United sudah tentunya tidak mahu kehilangan Vidic yang dinobatkan selaku pemain terbaik EPL musim 2008/2009.

Begitupun, pemain pertahanan itu merasakan dia perlu menerima ganjaran setimpal seperti yang diperolehi Rio Ferdinand, gaji sekitar 120,000 pound (RM576,376) seminggu.

City turut berminat untuk memancing khidmat Vidic yang dilaporkan akan meninggalkan United selepas aksi Piala Dunia.

Kini United sedar mereka perlu membuat pilihan sama ada menaikkan gaji Vidic atau merestui pemergiannya.

Walaupun gagal mempamerkan aksi menakjubkan bersama Real musim lalu dan tidak mengisi skuad 23 pemain akhir Perancis ke Piala Dunia, Benzema masih menjadi buruan utama United yang mahu memperkukuhkan jentera serangan pasukan itu musim depan.

Artikel Lain