suria

Benitez Sah Pimpin Inter Dua Tahun

RAFAEL Benitez (gambar) diumumkan selaku pengurus baru Inter Milan dan akan memikul tanggungjawab besar untuk mempertahankan kejuaraan yang dicipta bekas pengurus pasukan itu, Jose Mourinho sepanjang musim lalu.

Pengurus kelahiran Sepanyol yang menamatkan karier selama enam tahun di Liverpool minggu lalu menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab gergasi Itali itu.

"Inter mengalu-alukan kehadiran Rafael Benitez," kata jurucakap Inter dalam satu kenyataan di laman web kelab itu.

Mourinho meninggalkan Inter untuk berhijrah ke Real Madrid selepas mengemudi pasukan itu memenangi saingan Liga Juara-juara Eropah dan Serie A bulan lalu.

Inter pantas menambat hati Benitez yang pernah membantu Liverpool memenangi kejuaraan Eropah pada 2005 dan mara ke pusingan final dua tahun kemudian.

Presiden Inter, Massimo Moratti meletakkan Pengurus England, Fabio Capello sebagai sasaran utama tetapi memandangkan dia ingin kekal bersama skuad The Three Lions sehingga Euro 2012, perhatian beralih kepada Benitez yang sudah tidak lagi memimpin Liverpool.

Pengurus berusia 50 tahun itu mengetahui sedikit sebanyak mengenai Serie A dan mempunyai pengalaman luas pada kejuaraan Eropah apabila mengemudi Liverpool menentang seteru utama Inter, AC Milan sebelum ini.

Dia sudah tahu bercakap bahasa Itali dan taktik permainannya sudah tentu akan memikat hati peminat bola sepak Serie A musim depan.

Meskipun menerima peruntukan kewangan terhad untuk membawa masuk pemain baru ketika di Anfield, kini Benitez akan berdepan situasi berbeza. Kelab akan mengurus pembelian pemain berbanding pengurus.

Jadi, Benitez hanya perlu menurunkan taktik permainan dan skil pengurusan di San Siro. Sebelum ini dia sering menjadi mangsa kritikan di Liverpool kerana masih mengamalkan taktik rotasi pemain.

Benitez lebih suka mengambil sifat berdiam diri berbanding Mourinho. Dia perlu bijak menggunakan kelebihannya untuk memujuk pemain seperti Maicon yang dilaporkan mahu menyertai Mourinho di Santiago Bernabeu.

Artikel Berikut

32 Pasukan Piala Dunia 2010

Artikel Lain