suria

Juara Dunia Pilih Pulau Duyong Sebagai Pangkalan Latihan

KUALA LUMPUR: Fasiliti pelayaran bertaraf dunia di Pulau Duyong menarik perhatian johan dua kali Pertandingan Racing Tour Dunia (WMRT) Persekutuan Pelayaran Antarbangsa (ISAF), Ian William dari United Kingdom, lalu memilih tempat berlangsungnya Monsoon Cup itu sebagai pangkalannya untuk berlatih bagi Korean Match Cup yang bermula selasa.

William berkata tiada yang luar biasa dalam keputusannya memilih Pulau Duyong oleh kerana beliau memang sering mengubah tempat latihan.

"Saya biasanya pilih pangkalan yang hampir dengan perlawanan seterusnya. Saya pilih Pulau Duyong kerana ia punya fasiliti bertaraf dunia dan cuaca sama seperti Korea Selatan.

"Selain fasiliti itu, bot-bot lima bintang Foundation 36 adalah juga tarikan utama bagi saya. Saya tidak ragu telah buat keputusan yang betul untuk berlatih di tempat berlangsungnya Monsoon Cup itu. Saya harap dapat peluang berlatih di sini lagi dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

William, di ranking kelima dalam senarai WMRT selepas dua acara, tiba di Terengganu Khamis lepas dan mempunyai dua hari untuk menyesuaikan diri dengan cuaca.

Kehadiran juragan GAC Pinder menyebabkan penduduk tempatan teruja ketika beliau merekrut lapan orang Malaysia menjadi kru ketika beliau meredah ombak di Riyaz Heritage Marina dan Spa Resort Marina dekat Kuala Terengganu.

William mengambil peluang memperkongsikan pengalamannya dalam mengendali bot Foundation 36 yang akan digunakan semasa Monsoon Cup.

"Saya juga menunjukkan kepada mereka teknik yang betul untuk mengendali sebuah bot berkuasa besar," katanya.

Artikel Lain