suria

Jentera T127 Berlumba Di Pesta Pasukan Lotus Klasik

SNETTERTON: Lotus Racing mengesahkan jentera T127 akan berlumba pada Pesta Pasukan Lotus Klasik di Snetterton, United Kingdom (UK), 20 Jun ini.

Pemandu pasukan itu, Jarno Trulli, Heikki Kovalainen dan Fairuz Fauzy akan membuat penampilan pada perlumbaan itu yang turut mempamerkan setiap jenis kereta Lotus yang digunakan dalam perlumbaan Formula Satu (F1) dari 1957 hingga 1994.

"Pertama sekali, saya amat menggagumi usaha Pasukan Lotus Klasik bukan saja dengan penganjuran acara akan datang tetapi cuba merealisasikan impian peminat F1 di seluruh dunia," kata Pengetua Lotus Racing, Datuk Seri Tony Fernandes dalam laman web pasukan itu.

Beliau yakin, pesta itu akan menjadi acara terhebat dan langkah terbaik untuk memperingati warisan pemotoran Lotus.

"Kami berasa bangga kerana dijemput dan saya percaya keseluruhan pasukan bersedia untuk bertemu peminat-peminat di UK dengan meluangkan sedikit masa bersama dengan kereta lumba dan penduduk yang banyak membantu mencipta lagenda Lotus," jelasnya.

Menurutnya, mereka akan berlumba dengan salah sebuah jentera pasukan itu supaya orang awam mengetahui sejarah Lotus dan pada masa sama menggesa sesiapa saja yang meminati sukan pemotoran untuk berkunjung ke Snetterton kelak.

Pesta itu diadakan di antara perlumbaan Kanada dan Valencia serta masa terbaik untuk Lotus Racing meraikan perlumbaan F1 buat kali ke-500 di Grand Prix Valencia kelak.

Sementara itu, Kovalainen memberitahu dia amat bertuah menyertai Lotus Racing kerana Clive Chapman membenarkannya melawat sekitar bengkel Pasukan Lotus Klasik dan melihat kereta yang mereka miliki.

"Agak mustahil untuk pergi meninjau ke sekitar bengkel mereka. Namun kami melakukannya untuk menghidupkan semula lagenda pasukan itu. Ia satu penghormatan besar untuk melihat semua kereta dan peminat yang memberikan sokongan sepanjang perlumbaan musim ini," katanya.

Trulli turut menyuarakan keseronokan mengenai peluang untuk melihat pelbagai sejarah di trek pada satu masa.

"Sesiapa saja yang mencintai dunia pemotoran pasti ingin datang ke pesta ini. Terdapat pelbagai jenis kereta terkemuka dan bersejarah yang membentuk perlumbaan F1 sehingga kini," katanya.

Begitupun, Trulli memberitahu mereka sentiasa fokus pada perlumbaan pertama musim ini dan amat berbangga dijemput meraikan pesta Pasukan Lotus Klasik.

Artikel Sebelum

Artikel Lain