suria

Badminton Kurang Popular Di Afrika Selatan Berbanding Ragbi Dan Bola Sepak

KUALA LUMPUR: Pasukan badminton dari Afrika Selatan mengakui bahawa mereka kurang mendapat sokongan dari kerajaan mahupun sektor swasta dalam menghadapi kempen Piala Uber di sini memandangkan sukan badminton jarang-jarang sekali mendapat perhatian di negara itu berbanding ragbi dan bola sepak.

Pengurus pasukan Kalie Van Heerden berkata sukan badminton boleh dikatakan amat jarang sekali mendapat perhatian di Afrika Selatan berbanding lain-lain acara sukan.

Beliau berkata acara sukan itu kurang mendapat publisiti, dan para pemain pula kurang diberi perhatian walaupun jumlah pemainnya boleh dikatakan meningkat setiap tahun.

"Kami sememangnya tidak boleh bersaing dengan acara seperti ragbi dan bola sepak memandangkan kerajaan memberikan segalanya untuk memajukan sukan ragbi dan bola sepak," katanya kepada bernama di sini hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Badminton Afrika Selatan berkata pihaknya terpaksa bertungkus lumus dan bergelut dengan masalah kewangan, dalam usaha mendapatkan jurulatih profesional buat pasukan itu.

Van Heerden berkata Afrika Selatan mempunyai hanya seorang jurulatih luar setakat ini, iaitu dari China, yang diambil khusus sebagai persiapan pasukan ke Sukan Olimpik.

Bagaimanapun menurutnya perkara itu tidak menghalang pemain muda yang jumlahnya semakin bertambah untuk menceburi sukan itu, dan menurutnya ketika ini pasukan negara itu mempunyai 20 orang pemain.

"Masalah ini tidak akan melemahkan semangat kami, persembahan kami tetap mantap, malah kami membuktikan bahawa pemain kami mampu bersaing dalam kempen Piala Uber tahun ini," katanya dan menambah pasukan itu sedang bersiap sedia untuk menghadapi Piala Sudirman tahun depan.

Afrika Selatan diundi untuk berada dalam satu kumpulan dengan Korea Selatan dan India dalam saingan Piala Uber di sini, dan pasukan negara itu sudahpun terkandas dalam saingan untuk ke suku akhir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain