suria

Peluang N. Sembilan, Kedah Julang Piala FA Seimbang: Rajagobal

KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan dan Kedah mempunyai peluang yang seimbang untuk bergelar juara apabila turun beraksi pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional di sini Sabtu ini, kata jurulatih kebangsaan, K.Rajagobal.

"Negeri Sembilan ada pemain-pemain yang berpengalaman seperti Rizal Zambry Yahya, Idris Karim, Ching Aik Hing, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Razak dan Mohamad Zaquan Adha Abdul Razak.

"Begitu juga Kedah yang mempunyai Baddrol Bakhtiar, Mohd Khyril Muhyameen Zambri, Mohd Azmi Muslim dan Mohd Hemli Eliza Elias," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, ia jelas menunjukkan kedua-dua pasukan mempunyai barisan pemain yang berpengalaman walaupun ada antara mereka masih muda namun telah mewakili pasukan kebangsaan dan matang dari segi permainannya.

"Apa yang penting apabila memasuki perlawanan akhir, pasukan yang boleh bermain dengan tersusun dan bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan akan berjaya," katanya.

Rajagobal berkata, walaupun Negeri Sembilan dibimbing oleh bekas jurulatih kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan yang mempunyai pengalaman yang luas, ia juga tidak boleh dianggap sebagai satu kelebihan.

"Ahmad Yusof yang kini jurulatih Kedah turut mempunyai pengalaman luas sebagai seorang pemain kebangsaan," katanya. Negeri Sembilan mara ke perlawanan akhir setelah menewaskan juara bertahan, Selangor dengan peraturan gol di tempat lawan setelah terikat dengan 2-2 secara agregat.

Kedah lebih cemerlang apabila menewaskan Terengganu 2-1 pada perlawanan timbal balik di Stadium Darulaman, Alor Setar sekaligus mara dengan agregat 4-1.

Kali terakhir Negeri Sembilan menjulang Piala FA adalah pada 2003 manakala Kedah menjuarainya pada 2008, tahun yang sama skuad 'Kenari' turut menjulang Piala Malaysia dan Liga Super. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain