suria

FAM Jamin Mutu Pengadilan Perlawanan Akhir Piala FA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjanji akan memastikan mutu pengadilan perlawanan akhir Piala FA di antara Negeri Sembilan dan Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini adalah yang terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM Datuk Che Mat Jusoh berkata FAM akan menggunakan perlawanan tersebut sebagai medan untuk membuktikan kualiti pengadilan di Malaysia adalah di tahap yang membanggakan.

"Pengadil untuk perlawanan tersebut masih belum ditetapkan, tetapi kita berjanji pengadil tersebut adalah di antara yang mendapat pengiktirafan dari Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)," katanya di sidang media perlawanan akhir Piala FA di sini hari ini.

Che Mat dan ahli jawatankuasa pengelola perlawanan sebelum itu mengadakan lawatan ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi melakukan pemeriksaan padang untuk perlawanan.

"Setelah pemeriksaan dibuat, kita semua mendapati keadaan padang dan stadium dalam keadaan amat baik dan sudah bersedia untuk perlawanan Sabtu ini," katanya.

Che Mat berkata mengikut peraturan FAM 2010, penyokong bagi setiap negeri akan dipisahkan bagi mengelak perkara yang tidak diingini dan memudahkan kawalan pihak keselamatan.

"Sekiranya penyokong bagi mana-mana negeri bertindak tidak senonoh, bukan hanya penyokong tersebut akan dihukum malahan pasukan penyokong juga akan turut dihukum," katanya.

Sementara itu, seramai 1,669 anggota polis selain anggota Rela dan pegawai stadium akan diarahkan untuk mengawal keadaan stadium pada hari tersebut.

"Ini adalah untuk memastikan perlawanan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dan diharapkan penonton yang datang dapat menyokong pasukan masing-masing dengan baik dan menjaga nama pasukan masing-masing," tambahnya.

Dijangka seramai 70,000 orang ramai akan hadir menyaksikan perlawanan tersebut di mana 25,000 tiket akan dijual di Kedah, 30,000 di Negeri Sembilan dan baki sebanyak 15,000 akan dijual di Stadium Nasional pada hari perlawanan, bermula 9 pagi.

Harga tiket bagi dewasa ialah RM20 dan kanak-kanak RM5 dan pintu masuk ke stadium hanya akan dibuka pada 5 petang.

Perlawanan akhir Piala FA antara Negeri Sembilan dan Kedah akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini, bermula 8.45 malam. - BERNAMA

Artikel Lain