suria

Nur Amirah Hampiri Gelaran Juara

LANGKAWI: Pelayar negara Nur Amirah Hamid, mempunyai peluang cerah untuk merangkul kejuaraan dunia apabila mendahului acara Laser 4.7 pada Kejohanan Remaja Dunia 2010 di Pattaya, Thailand.

Nur Amirah berjaya memintas pelayar Australia, Lane Ashlie, untuk memungut 28 mata selepas lapan perlumbaan semalam, kata Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah.

Dalam e-mel kepada Bernama di sini hari ini, katanya pelayar pelapis negara berusia 17 tahun itu menunjukkan persembahan cemerlang dalam dua perlumbaan semalam dengan menduduki tempat kedua dan pertama.

Sebelum ini, Nur Amirah turut memenangi pingat perak pada Kejohanan Laser Asia Pasifik di Pattaya, bulan lepas.

Malaysia menghantar tiga pelayar pada kejohanan remaja dunia itu yang disertai oleh 116 pelayar berusia antara 12 hingga 18 tahun daripada 26 negara.

Artikel Sebelum

Artikel Lain