suria

Tinju: Mohd Fuad Hanya Mampu Gangsa Selepas Tersingkir Di Separuh Akhir

NEW DELHI: Petinju berbakat negara Mohd Fuad Reduan tersingkir daripada Kejohanan Komanwel Kelima di sini selepas tumpas pada saingan separuh akhir acara 49kg 'light flyweight'.

Mohd Fuad tidak dapat menandangi kehebatan petinju tuan rumah yang lebih berpengalaman, Amandeep Singh, dan tunduk dengan pungutan mata 1-7 selepas tiga pusingan.

"Saya masih kekurangan pengalaman. Dua pusingan awal agak baik tetapi tidak bernasih baik pada pusingan akhir. Saya tidak tahu apa yang berlaku," kata Mohd Fuad.

Bagaimanapun, beliau memperoleh pingat gangsa selepas layak ke separuh akhir.

Sebelum ini, satu-satu lagi petinju negara, Mohd Farhan Harun tersingkir pada pusingan awal dalam kategori 75kg.

Pengurus pasukan Mejar (BN) Maulud Othman berkata kedua-dua petinju skuad pelapis negara itu memerlukan pendedahan antarabangsa kerana baru sahaja menjadi menyertai pasukan elit.

Katanya kedua-dua mereka akan menyertai Kejohanan Antarabangsa Piala Raja Thailand di Bangkok bulan depan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain