suria

FAM Pertahan Skuad Harimau Muda

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mempertahankan keputusannya menghantar Harimau Muda A beraksi dalam Liga Satu Slovakia dan menganggapnya sebagai satu usaha yang berjaya memartabatkan bola sepak negara.

Timbalan presidennya, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad berkata, pemergian skuad bawah 21 tahun ke negara itu bukan bermakna FAM membazirkan wang.

"Soal lain adalah subjektif dan FAM memang memantau prestasi mereka di sana. Jika hanya buat perlawanan persahabatan, saya rasakan adalah lebih baik mereka bermain di dalam negeri sahaja kerana kita ingin mereka bermain bagi menimba pengalaman.

"Saya ingin menegaskan pihak FAM tidak akan sesuka hati membazirkan wang dan kami mengharapkan sokongan anda (orang ramai)," katanya pada sidang akhbar berhubung isu skuad Harimau Muda di Slovakia di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar baru-baru ini yang mengkritik penglibatan skuad itu dalam Liga Satu Slovakia sebagai perlawanan persahabatan semata-mata dan tidak tersenarai sebagai pasukan yang bertanding dalam liga berkenaan.

"Ini merupakan pertama kali skuad negara bermain dalam liga luar negara dan seharusnya kita telah mengusahakan sedaya mungkin dan diharap dapat memberi peluang kepada pemain untuk menimba ilmu dengan lebih sempurna di negara berkenaan," katanya.

Menurut beliau, selepas selesai beraksi dalam Liga Satu Slovakia, skuad Harimau Muda dijangka akan beraksi dalam Liga Singapura tahun depan jika dipersetujui oleh Persatuan Bola Sepak Singapura.

Beliau juga berkata, FAM sedang merancang untuk mengatur empat perlawanan antarabangsa untuk skuad itu, iaitu menentang skuad bawah 21 Austria, Republik Czech, Hungry dan Poland tetapi tarikhnya belum ditentukan lagi.

Selain itu, skuad Harimau Muda juga akan beraksi pada Kejohanan Piala Presiden Obama di Michigan, Amerika Syarikat dari 18 hingga 25 Mei ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain