suria

Pemain Pilihan Tepati Ramalan Mara Ke Separuh Akhir Kejohanan Badminton

JOHOR BAHARU: Semua pemain pilihan berjaya menempah tiket ke perlawanan separuh akhir kejohanan badminton Grand Prix Sirkit Akhir Kebangsaan di Stadium Tertutup yang menawarkan hadiah tunai RM84,000 di sini malam ini.

Penyandang juara Datuk Lee Chong Wei menewaskan Mohd Arif Abdul Latif dengan 21-9, 21-17, menjadikan pemain nombor satu dunia itu sebagai peneraju dalam Kumpulan A.

Chong Wei akan berentap dengan Chan Kwong Beng dalam perlawanan separuh akhir esok manakala satu lagi perlawanan separuh akhir akan menyaksikan pemain dari Kedah Kuan Beng Hong berhadapan dengan Tan Chun Seang.

Chan menumpaskan Darren Liew dari Kuala Lumpur dengan 21-16, 22-20 untuk menjadi peneraju Kumpulan C manakala Beng Hong menumpaskan bekas pemain nombor satu dunia Roslin Hashim 21-12, 21-11 malam ini untuk mengungguli Kumpulan D.

Chun Seang pula menundukkan Lim Fang Yang dari Pahang dengan 21-11, 21-17 dalam masa 33 minit dalam Kumpulan B. Perlawanan perseorangan wanita separuh akhir esok pula akan menyaksikan pertembungan antara dua saudara; Lydia Cheah menentang adiknya Sonia.

Lydia, pemain pilihan ekoran ketiadaan pemain wanita nombor satu negara Wong Mew Choo, menewaskan pemain Kedah Ooi Swee Wenn 21-11, 21-6, malam ini untuk menerajui kumpulannya, dengan pemain Selangor Yang Li Lian menduduki tempat kedua selepas menewaskan Lim Yee Theng 21-8,21-17.

Pemain Pulau Pinang Tee Jing Yi menerajui Kumpulan B dalam perseorangan wanita selepas berjaya menumbangkan Sonia 21-13, 21-18, malam ini, dan beliau akan bertemu dengan Lian dalam separuh akhir esok.

Pasangan beregu pilihan wanita Chin Ee Hui dan Wong Pei Tty pula mara ke perlawanan separuh akhir esok dengan kemenangan 21-12, 21-6 ke atas Tee Jing Yee dan Sanatash Saniru dari Kuala Lumpur, menjadikan mereka sebagai pasangan tidak pernah kalah dalam saingan Kumpulan A.

Mereka akan disertai oleh pasangan Lim Yee Theng dan Ng Soo Mui dari Pulau Pinang, yang menumpaskan Lai Peng Jing dan Shevon Jenie dari Pahang 8-21, 21-15, 21-15 malam ini untuk menduduki tempat kedua.

Chin dan Wong akan bertemu dengan Goh Liu Ying dan Nairul Suhada Latif dari Melaka dalam perlawanan separuh akhir esok, manakala Lim Yin Loo dan Ng Paou Leng dari Negeri Sembilan, pemenang Kumpulan B, akan menentang Yee Theng dan Soo Mui dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Terdahulu Lim dan Ng menewaskan Goh dan Nairul Suhada 21-17, 18-21, 21-14 dalam pertembungan Kumpulan B.

Acara beregu lelaki Kumpulan A pula menyaksikan pasangan veteran Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah ditewaskan oleh pasangan muda Mak Hee Chun dan Tan Wee Kiong dari Perak 9-21, 10-21, namun akhirnya ia tidak mengubah apa-apa kedudukan.

Kedua-dua mereka sudahpun melepasi ke kelompok empat beregu terbaik kejohanan, namun kemenangan pasangan Mak dan Tan meletakkan mereka di tempat teratas kumpulan dengan lawan mereka di tempat kedua.

Mohd Fairuzizuan Tazari dan Mohd Zakry Latif mengungguli Kumpulan B selepas beroleh kemenangan 21-11, 21-15 ke atas Chew Choong Eng dan Chan Chong Ming, dan mereka akan menentang Tan Fook dan Wan Wah dalam perlawanan separuh akhir esok.

Manakala Mak dan Tan berhadapan dengan pasangan Goh Wei Shem dan Vountus Indra Mawan dari Kuala Lumpur dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Tenis: Jadual Piala Fed Hari Ini

Artikel Berikut

Chelsea, Hull Seri 1 - 1

Artikel Lain