suria

Chong Wei Terus Menyerlah Seperti Dijangka

JOHOR BAHARU: Lee Chong Wei terus menyerlah mengatasi saingannya dalam pusingan awal kejohanan badminton Grand Prix Sirkit Akhir Kebangsaan di Stadium Tertutup di sini hari ini.

Chong Wei, yang memburu kejuaraan kali kelapan bagi perseorangan lelaki, mengatasi pemain Pulau Pinang Ho Khek Mong 21-9, 21-18 dalam masa bawah 25 minit dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A dan kemudian masuk semula ke gelanggang pada sebelah petang untuk mengatasi Syed Akhbar Shah Mustakim dari Melaka dengan 21-7, 21-9.

Beliau akan bertemu Mohd Arif Abdul Latif dalam final kumpulan esok bagi menentukan pemenang kumpulan dan menempah tiket ke perlawanan separuh akhir.

Kuan Beng Hong yang berentap bagi kedudukan dalam skuad perseorangan lelaki Piala Thomas, juga menghadapi laluan mudah dalam pusingan pembukaan Kumpulan D dengan menewaskan Goh Soon Huat dari Melaka dengan 21-14, 21-10 dan kemudiannya mengatasi Kuan Kam Chung dari Kuala Lumpur dengan 21-17, 21-7.

Turut mendapat laluan mudah ialah Tan Chun Seang yang menewaskan pemain dari Perak, Soo Kar Seong dengan 21-13, 21-12 dan Iskandar Zulkarnain dari Johor 21-18, 21-8 untuk mencatat kemenangan kedua.

Bagaimanapun, bekas pemain nombor satu dunia Roslin Hashim tewas 19-21, 16-21 dalam pusingan pembukaan Kumpulan D kepada Kuan Kam Chung dari Kuala Lumpur dan diberikan kemenangan percuma oleh saingannya Goh Soon Huat kemudian pada sebelah petang.

Pasangan bergu wanita nombor satu negara Chin Ee Hui dan Wong Pei Tty juga mendapat laluan mudah dalam pusingan pembukaan Kumpulan A dengan kemenangan selesa 21-11, 21-15 ke atas Lai Pei Jing dan Shevon Lai. Bagaimanapun, pasangan bergu veteran Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah, bergu pilihan tanpa kehadiran Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong, diberi tentangan sengit dalam tiga set permainan oleh kombinasi Chooi Kah Ming dan Ow Yao Han dari Sekolah Sukan Bukit Jalil sebelum menang dengan 16-21, 21-9, 21-6 dalam saingan Kumpulan A.

Mereka mendapat laluan mudah pada sebelah petang dengan menewaskan Chan Peng Soon dan Lim Khim Wah dengan 21-13, 22-20 bagi kemenangan kedua hari ini.

Pasangan bergu nombor dua negara, Mohd Farizizuan Tazari dan Mohd Zakry Abdul Latif, juga menempuh laluan getir sebelum dapat menewaskan saingan mereka yang lebih muda, Cheah Like Hou dan Chow Pak Chiu dengan 18-21, 21-17, 21-15 dalam kumpulan B.

Sama seperti nasib pemain veteran, mereka beraksi dengan penuh bertenaga pada sebelah petang untuk menewaskan Goh Wei Shum dan Voutis Indra Mawan 21-17, 21-16 untuk mara ke separuh akhir. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain