suria

Kabaddi Piala Presiden Cungkil Bakat Untuk Sukma 2010

KUALA LUMPUR: Pertandingan Kabaddi Piala Presiden 2010 anjuran Persatuan Kabaddi Malaysia (KAM) pada minggu ini dijangka menjadi kayu ukur prestasi pemain dalam persediaan menghadapi Sukma 2010 di mana kabaddi disenaraikan sebagai acara pertandingan buat julung kali.

Timbalan Presiden KAM Maniam Manikam memberitahu Bernama bahawa kejohanan ini yang berlangsung dari 5-7 Februari di Kompleks Rakan Muda Puchong akan mempertandingkan dua kategori iaitu lelaki dan wanita bawah 23 tahun.

Hampir kesemua negeri setuju untuk menghantar pasukan masing-masing.

Maniam berkata pertandingan ini akan dijalankan mengikut peraturan pertandingan yang ditetapkan KAM dan Persekutuan Kabaddi Amatur Asia (AAKF).

KAM juga menjemput pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) dan Sukma 2010 sebagai pemerhati, kata Maniam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal KAM.

Selain bagi Sukma 2010 di Melaka, pertandingan ini juga menjadi medan untuk KAM memilih pemain pasukan lelaki dan wanita yang akan mewakili negara ke Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada November ini.

Pada Sukma 2008 di Terengganu, sukan kabaddi hanya dipertandingkan sebagai sukan demo dengan 10 negeri mengambil bahagian termasuk pasukan tuan rumah yang hanya mendapat latihan asas selama tiga bulan.

Perasmian kejohanan ini akan dilakukan pada Sabtu oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T.Murugiah dan majlis penutup dan penyampaian hadiah dijangka disempurnakan oleh Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong. - BERNAMA

Artikel Lain