suria

Ahmad Shabery Bangga Pencapaian Azizulhasni, Chong Wei

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek melahirkan rasa bangga dengan kejayaan yang dirangkul atlet negara iaitu pelumba basikal trek, Mohd Azizulhasni Awang dan pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Beliau berkata, pihak kementerian sentiasa memantau perkembangan Mohd Azizulhasni yang memenangi emas dalam acara keirin pada kejohanan Piala Dunia Klasik di Beijing, China semalam, dari semasa ke semasa.

Beliau turut mengulangi janjinya untuk menamakan sebuah mini velodrom di Dungun yang juga merupakan daerah kelahiran pelumba itu dengan nama Mohd Azizulhasni yang kini merupakan pelumba pasukan Bike Technologies Australia (BTA).

"Namun nama beliau hanya akan diabadikan pada mini veledrom itu sekiranya berjaya memenangi pingat emas di Sukan Olimpik 2012 di London," katanya.

Mengenai kejayaan Chong Wei yang menewaskan pemain Thailand, Boonsak Ponsana pada perlawanan akhir Siri Super Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil hari ini.

Ahmad Shabery Cheek berkata, pemain perseorangan utama negara itu telah mempamerkan permainan yang mengkagumkan di hadapan penonton sendiri.

"Saya lihat ribuan penonton yang memenuhi Stadium Putra amat berpuas hati dengan corak permainanan beliau dan saya berharap ia dapat dikekalkan untuk sebarang kejohanan yang disertainya pada masa depan," katanya.

Pada perlawanan akhir itu, Chong Wei hanya mengambil masa 37 minit untuk menewaskan pemain Thailand yang berada di ranking ke-12 dunia itu dengan keputusan 21-13 dan 21-7.

Kejayaan itu membolehkan Chong Wei meraih gelaran keenamnya di Terbuka Malaysia setelah memenanginya pada 2004, 2005, 2006, 2008 dan 2009 selain meneruskan rentak kemenangan selepas memenangi Siri Super Terbuka Korea minggu lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Keputusan Serie A Itali

Artikel Berikut

Artikel Lain