suria

Kean Keat Dan Boon Heong Ke Final Bertemu Beregu China

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara Koo Kean Keat dan Tan Boon Heong mencetuskan rasa cemas penyokong badminton tempatan sebelum berjaya melangkah ke perlawanan akhir kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia apabila menewaskan pasangan China, Chai Bio dan Zhang Nan dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil hari ini.

Kean Keat dan Boon Heong yang juga beregu nombor satu dunia terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menumpaskan pasangan bukan pilihan dari China itu dalam perlawanan yang berlanjutan sehingga ke set penentuan 21-19, 16-21, 21-15.

Pada pertemuan final esok Kean Keat dan Boon Heong bertemu satu lagi beregu dari China, Guo Zhendong dan Xu Chen. "Prestasi saya tidak mencapai standard yang diperlukan, saya melakukan beberapa kesilapan mudah pada set pertama dan kedua. Namun di set penentuan, saya menukar corak permainan saya dan berjaya," kata Boon Heong.

Kean Keat berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk menjuarai gelaran itu buat kali selepas kali pertama memenanginya pada 2007.

Gandingan Guo Zhendong dan Xu Chen sebelum itu, menumpaskan beregu dari Indonesia Alvent Yulianto Chandra dan Hendra Gunawan 13-21, 21-13, 21-13 untuk melangkah ke perlawanan akhir.

Sementara itu, hajat untuk menyaksikan beregu wanita negara Chin Eei Huidan Wong Pei Tty turut melangkah ke perlawanan akhir tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan pilihan dari China, Ma Jin dan Wang Xiaoli.

Ma Jin dan Wang Xiaoli yang juga beregu wanita nombor satu dunia layak ke perlawanan akhir dengan menumpaskan Eei Hui dan Pei Tty dengan keputusan 20-22, 21-12, 21-17. "Kami berjaya mengatasi mereka pada set pertama tetapi pada set kedua, kami melakukan kesalahan dengan mengikuti cara permainan mereka dan membawa padah. "Pada set ketiga, kami ketinggalan terlalu jauh dan gagal mengejar," kata Pei Tty.

Perlawanan akhir beregu wanita esok menyaksikan pertemuan dua beregu China apabila Du Jing dan Yu Yang menewaskan pasangan dari Korea Selatan Jung Kyung Eun dan Yoo Hyun Young 21-11, 21-13.

Perlawanan akhir beregu campuran pula membabitkan pertemuan beregu China, Tao Jiaming dan Zhang Yawen dan Thomas Laybourn dan Kamilla Rytter Juhl dari Denmark. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain