suria

Chong Wei Mara Ke Suku Akhir, Mew Choo Tersingkir

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei terpaksa bangkit pada set kedua untuk mengatasi pemain China Pengyu Du sebelum menempah tiket ke suku akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia di sini malam semalam.

Chong Wei, pemain nombor satu dunia, menerima saingan sengit dari pemain China itu apabila tewas set pertama 21-23 sebelum bangkit semula untuk menang set kedua 21-17.

Pertarungan sengit itu akhirnya berpihak kepada Chong Wei apabila menewaskan Pengyu Du 21-14 selepas berjuang selama 69 minit.

"Hari ini Pengyu amat berbeza sekali dari apa yang saya ketahui sebelum ini. Dia melakukan kejutan dengan melancarkan corak serangan. Bagaimana saya berjaya membalas serangan untuk mengatasinya dalam set penentuan," kata Chong Wei.

Pemain utama negara berusia 26 itu akan menentang seorang lagi pemain China dan pilihan kelima Chen Jin pada pertemuan suku akhir hari ini dan berharap dapat meneruskan cabaran dengan kemenangan straight set.

Dalam pada itu, Chen Jin, menewaskan pemain Hong Kong Chen Yan Kit 21-8, 21-11 untuk mara ke peringkat seterusnya.

Dalam pada itu, pemain pelapis elit negara Chong Wei Feng turut melangkah ke suku akhir selepas menundukkan Anand Chetan dari India 21-15, 19-21, 21-18.

"Ini merupakan pencapaian terbaik saya mara ke suku akhir," kata pemain berusia 23 tahun itu yang bakal menentang pemain pengalaman Thailand Poonsak Boonsak.

Terdahulu itu Poonsak menempah tiket ke suku akhir apabila menewaskan pemain England Andrew Smith 15-21, 21-18, 21-12.

Sementara itu, pemain wanita nombor satu negara Wong Mew Choo tersingkir di pusingan kedua selepas kalah kepada pemain Korea Selatan Sung Ji Hyun 12-21, 21-18, 21-17.

'Saya amat sedih dengan kekalahan ini. Saya mengambil kesempatan atas kesilapannya untuk menang set pertama dan kemudian hilang tumpuan, menyebabkan saya gagal mengumpul mata," kata Mew Choo yang akan membuat persiapaan menghadapi Kejohanan All England Mac ini dan Piala Uber pada Mei nanti.

Dalam pada itu, beregu pilihan utama Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut mara ke suku akhir apabila menewaskan beregu China Sun Junjie-Tan Jiaming 21-16, 21-12.

Kien Keat-Boon Heong akan menentang beregu pilihan ketujuh Clark Anthony-Robertson Nathan dari England pada suku akhir hari ini.

Dalam acara beregu wanita, pilihan ketiga Chin Eei Hui-Wong Pei Tty turut melangkah ke suku akhir apabila menundukkan beregu senegara Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei 21-12, 21-8. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain