suria

Tiga Perlawanan Liga Super Ditunda

KUALA LUMPUR: Tiga perlawanan bola sepak Liga Super telah ditunda ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak berikutan kemangkatan Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail semalam.

Dua perlawanan terbabit adalah Johor menentang T-Team yang sepatutnya berlangsung di Stadium Dato' Seri Hj. Hassan Yunos di Johor Baharu dan Pahang menentang Negeri Sembilan di Stadium Darul Makmur di Kuantan.

Kedua-dua perlawanan terbabit sepatutnya berlangsung pada malam ini.

Satu lagi perlawanan melibatkan Johor FC menentang KL Plus di Stadium JCorp, Pasir Gudang yang dijadualkan pada Selasa depan.

Johor berkabung selama tujuh hari manakala Pahang selama tiga hari.

Penangguhan ketiga-tiga perlawanan itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad.

"Tarikh baru perlawanan-perlawanan itu akan ditentukan kemudian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain