suria

Chong Wei Bertemu Boonsak Di Final Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan bertemu pemain dari Thailand, Boonsak Ponsana dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, esok.

Chong Wei,27, yang juga juara bertahan dan kini memburu gelaran juara kejohanan itu buat kali keenam sepanjang kariernya melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan lawan dari Vietnam, Nguyen Tien Minh pada peringkat separuh akhir dengan keputusan 22-20, 21-11 dalam tempoh 40 minit.

"Lawan saya mengambil kesempatan pada set pertama kerana saya bermula agak perlahan dan terlalu berhati-hati, sehinggalah kami terikat 20-20, sebelum saya melakukan pukulan 'smash' untuk mencatat kemenangan.

"Pada set kedua, saya menguasai sepenuhnya daripada mata pertama sehinggalah ke mata akhir," katanya di sini hari ini.

Untuk rekod Chong Wei merupakan juara kejohanan itu pada 2004, 2005, 2006, 2008 dan 2009.

Pada perlawanan akhir tahun lepas, Chong Wei menewaskan pemain dari Korea Selatan, Park Sung Hwan dengan keputusan 21-14, 21-13.

Mengulas mengenai pertemuannya menentang Boonsak esok, Chong Wei berkata beliau perlu bersedia terutama daripada segi mental.

Boonsak melakar kejutan dengan menewaskan pemain pilihan keempat dari Denmark, Peter Gade-Christensen 11-21, 21-12, 21-16 dalam satu lagi saingan separuh akhir perseorangan lelaki.

Boonsak berkata Chong Wei seorang pemain yang baik ketika menyerang dan kental apabila bertahan serta sukar untuk ditewaskan kerana corak permainannya pantas.

"Tetapi Saya rasa saya mampu menewaskannya dia (Chong Wei) kerana dia berdepan dengan tekanan bermain di hadapan penyokong sendiri," katanya.

Sementara itu jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek berkata permainan Chong Wei kini semakin matang.

"Untuk menang, Chong Wei harus pandai membaca fikiran dan taktik lawan. Dalam perlawanan badminton peringkat tertinggi, semua pemain semakin bijak sama ada dari segi taktik atau pun perancangan permainan," katanya.

Sementara itu, perlawanan perseorangan wanita esok menyaksikan pertemuan di antara pemain dari Korea Selatan Bae Youn Joo dan Wang Xin dari China selepas menewaskan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir.

Youn Joo melakukan kejutan selepas menewaskan pemain utama dari China Wang Yihan 17-21, 21-13 dan 21-19, manakala Wang Xin mengalahkan pemain Jepun, Eriko Hirose 21-13, 21-17. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain