suria

Tiga Jenis Bonus Untuk Pemain Kelantan Musim 2010

KOTA BHARU: Kelantan akan memperkenalkan tiga jenis bonus yang kesemuanya berjumlah RM500,000 untuk pemainnya bagi musim baru 2010 ini, kata Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, bonus yang diperkenalkan itu berupa skim insentif kepada pemainnya bagi meningkatkan mutu bola sepak musim baru ini.

Katanya, ini juga selaras dengan usaha KAFA menjadikan tahun 2010 sebagai tahun bola sepak di negeri ini.

"Bonus itu ialah masing-masing RM100,000 untuk Piala FA dan Liga Perdana dan RM200,000 untuk bonus sasaran bermusim, selain gaji berdasarkan kontrak masing-masing," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Annuar juga berkata mesyuarat KAFA hari ini memutuskan untuk menurunkan kesebelasan pemainnya ketika menentang Kedah malam tadi, apabila bertemu Johor FC pada perlawanan kelimanya di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, di sini, Sabtu ini. Menurutnya, walaupun kalah menentang Kedah 0-1 di gelanggang sendiri malam tadi, namun menganggap kekalahan itu sebagai ubat yang pahit untuk dijadikan penawar menyembuh pelbagai penyakit.

"Kita juga harus menerima hakikat bahawa setiap perlawanan itu ada menang dan kalah, yang pasti kita harus memperbaiki kesilapan yang berlaku itu menerusi suatu pendekatan baru bagi mengelakkan daripada berulang," katanya.

Sehubungan itu beliau kesal sikap penonton yang tidak boleh menerima kekalahan tersebut yang cuba mencetuskan ketegangan selepas Kelantan ketinggalan 0-1 kepada Kedah pada separuh masa pertama, walaupun Kelantan boleh dikatakan mengawal sepenuhnya permainan itu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain