suria

Felda United Rampas Takhta Liga Daripada Selangor PKNS

KUALA LUMPUR: Felda United merampas takhta Liga Perdana daripada Selangor PKNS apabila menewaskan Universiti Sains Malaysia (USM) FC dengan jaringan 4-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang, malam ini.

Fatrurazi Rozi menjaringkan hatrik untuk Felda United pada minit ketiga, 12 dan 49 selain satu gol sumbangan Chow Chee Weng pada minit ke-82 manakala gol saguhati tuan rumah dijaringkan oleh Mohamad Baser Mohamad Napae pada minit ke-28.

Kemenangan ini membolehkan skuad bimbingan E.Elavarasan itu mengumpul jumlah mata yang sama iaitu tujuh mata bersama dengan Selangor PKNS yang terpaksa turun ke tangga kedua liga disebabkan perbezaan jaringan.

Selangor PKNS yang sepatutnya menang ke atas Sarawak untuk menjarakkan kedudukan mata gagal berbuat demikian apabila sekadar seri 1-1 di Stadium Sarawak di Kuching.

Walaupun terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-34 melalui Mohamad Zamri Hassan, kelebihan itu gagal dipertahankan apabila Sarawak menyamakan kedudukan empat minit kemudian melalui Zamri Morshidi.

Juara Piala FAM musim lepas pula iaitu Pos Malaysia terus mempamerkan rentak kemenangan apabila membenam cabaran Shahzan Muda 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk menduduki tempat ketiga liga.

Juara bertahan, Harimau Muda yang dibimbing jurulatih Ong Kim Swee turut mencatatkan kemenangan pertama setelah sekadar seri pada dua perlawanan awal sebelum ini.

Skuad bawah 19 tahun kebangsaan itu menewaskan Sabah 3-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu hasil jaringan kemenangan Mohd Irfan Fazail pada minit ke-70 manakala Wan Zack Haikal Wan Nor menyumbang dua gol awal pada minit ke-8 dan 45.

Dua gol Sabah pula dijaringkan oleh Henry Parsi seawal minit ke-4 dan Alto Linus pada minit ke-56.

Di Stadium Tan Sri Dato' Sri Hj Hassan Yunos, Larkin, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mencatatkan kemenangan besar apabila membelasah Majlis Perbandaran (MP) Muar 4-0. - BERNAMA

Artikel Lain