suria

Selangor PKNS Ungguli Takhta Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Selangor PKNS merampas kedudukan teratas Liga Perdana daripada Melaka setelah menewaskan Sabah 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya malam tadi.

Dua gol jaringan Mohd Zamri Hassan pada minit ke-32 dan 45 sudah cukup untuk membolehkan skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu mengumpul enam mata maksimum daripada dua perlawanan yang telah diharungi.

Melaka pula yang mencatatkan kemenangan bergaya 3-0 pada perlawanan pertama Isnin lepas tewas kepada pendatang baru Liga Perdana iaitu Pos Malaysia 0-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Dua gol juara Piala FAM musim lepas itu dijaringkan oleh Khairuzal Azmie Zahenuddin pada minit ke-13 dan Hanifuddin Abdul Rahman mengesahkan kemenangan mereka dengan gol kedua pada minit-85.

Felda United pula mengekori di tempat kedua Liga Perdana dengan empat mata apabila mencatatkan kemenangan besar 4-1 ke atas Sarawak di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur di Cheras.

Kesemua empat gol skuad bimbingan E.Elavarasan itu dijaringkan pada separuh masa pertama dengan Fatrurazi Rozi meledak dua gol pada minit ke-9 dan 18 manakala Munir Amran dan Abdul Rahman Ghani masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-37 dan 43 sementara gol saguhati pelawat dijaringkan oleh Zamri Morshidi pada minit ke-84.

Juara bertahan, Harimau Muda pula berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatat keputusan 2-2 apabila melayan kunjungan Majlis Perbandaran (MP) Muar di Stadium Hang Jebat, Melaka.

MP Muar yang pertama kali beraksi dalam Liga Perdana berjaya membuka jaringan pada minit ke-25 melalui Rosli Azizan sebelum pemain itu menambah gol kedua pada minit ke-52.

Skuad Harimau Muda yang dibimbing Ong Kim Swee bagaimanapun tidak berputus asa dengan Haziq Ziqri Elias membuka jaringan skuad bawah 19 tahun kebangsaan itu pada minit ke-80 untuk merapatkan jurang.

Tiga minit kemudian, Mohammad Amir Saidin berjaya menyelamatkan Harimau Muda daripada tewas apabila menjaringkan gol penyamaan untuk membolehkan pasukannya mengutip satu mata. Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut gagal mencipta kemenangan apabila sekadar seri 1-1 dengan Shahzan Muda.

S.Saravanan membuka jaringan pada minit ke-15 untuk ATM yang dianggap antara pilihan untuk menjuarai Liga Perdana musim ini namun Shahzan Muda berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-39 melalui Mohd Supian Heri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain