suria

Shahidan Larang Atlet KOAM Keluar Kenyataan

SHAH ALAM: Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) Datuk Seri Shahidan Kassim melarang mana-mana atlet yang bernaung di bawah persatuan itu mengeluarkan sebarang kenyataan kepada pihak media berkuatkuasa serta merta.

“Saya dah maklumkan bahawa selepas ini biarlah saya yang keluarkan kenyataan akhbar dan atlet-atlet tak perlu keluarkan kenyataan kepada pihak media.

“Mereka dilarang sama sekali (buat kenyataan). Buat apa mereka nak cakap kepada media, dan kenapa mereka tidak boleh cakap terus dengan saya,” katanya kepada mStar Online selepas menghadiri di Majlis Makan Malam bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersama-sama 1,000 penyokongya di Pusat Konvesnyen Shah Alam (SACC) di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan tidak puas hati beberapa atlet yang bernaung di bawah persatuan itu mengenai insentif dan kebajikan mereka.

Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis berkata, hubungannya dengan beberapa atlet kebangsaan seperti Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan Norasela Khalid (lompat pagar) adalah baik.

“Saya baik dengan Roslinda Samsu dan Norasela Khalid. Saya ingat mereka tak perlu pergi kepada media kecuali jika mereka membuat pilihan tidak mahu bernaung di KOAM. Tak apalah, ia tak menjadi masalah," katanya.

Beliau berkata, jika atlet berkenaan mahu menarik diri daripada bernaung di bawah KOAM mereka akan berhadapan dengan masalah tidak boleh wakili negara dalam kejohanan akan datang.

“Kalau mereka hendak berbuat demikian ia tidak menjadi masalah, tetapi takut mereka tidak boleh menjadi wakil negara, kerana untuk wakili Malaysia mereka perlu bernaung di bawah persatuan sukan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, sekiranya ada pihak yang tidak bersetuju dengan pucuk pimpinan mereka perlu membuat bantahan semasa mesyuarat agung dijalankan.

“Sekiranya kita anggap Presiden atau Timbalan Presiden tak bagus, kita boleh buat keputusan nak undi siapa… Tapi yang bercakap ini orang yang tidak boleh mengundi,” katanya.

Ditanya bila arahan itu akan dikuatkuasa, Shahidan berkata arahan itu memang telah diwujudkan sejak dahulu lagi.

Dalam perkembangan berkaitan sidang media yang telah diboikot oleh pemberita baru-baru ini, Shahidan berkata: “Ada sedikit salah faham timbul kerana sebenarnya sidang media itu telah dipanggil oleh Timbalan Presiden, Karim Ibrahim."

“Tapi selepas itu, dia maklumkan pada saya, pihak media nak jumpa dengan saya. Saya telah maklumkan kepada Karim bahawa saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

"Sekiranya pihak media mahu berjumpa dengan saya mereka boleh jumpa saya dalam pukul 6 petang kerana saya maklumkan sebegitu,” katanya.

Shahidan berkata akibat hujan lebat pada hari itu, beliau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang sangat teruk.

“Saya datang namun saya terlewat sedikit kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas akibat kemalangan yang berlaku di Bukit Jalil kerana keadaan ketika itu hujan lebat.

“Saya cakap kepada mereka kalau buat di luar kurang manis kerana masa ketika itu dekat dengan waktu Maghrib. Jadi lebih elok jika sidang media itu di buat dalam pejabat,” ujanrya.

Bagaimanapun, Shahidan berkata, ada jurukamera sebuah stesen televisyen tempatan enggan mengikut arahan tersebut.

“Jadi saya beritahu kepada jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM) suruh beritahu mereka agar sidang media ini dibuat dalam pejabat KOAM. Namun mereka tidak mahu, cuma RTM sahaja datang dan ikut sidang media itu.

“Bagi saya itu tidak jadi masalah kerana pemberita begitu berkuasa dan mereka boleh memilih apa yang mereka hendak ditulis atau tidak. Itu hak mereka,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, pihak stesen berkenaan telah menghubunginya dan memohon maaf berhubung insiden yang berlaku.

Kelmarin, beberapa pemberita dan jurukamera memboikot sidang media yang diadakan oleh KOAM kerana didakwa lewat mengadakan sidang media.

Difahamkan, seorang kakitangan persatuan itu bertindak kasar kepada jurukamera sebuah televisyen hingga menyebabkan pihak media memboikoit sidang media itu.

Artikel Lain