suria

Dementieva Dan Kirilenko Pamer Penguasaan Rusia

SHAH ALAM: Dua jaguh tenis wanita Rusia, Elena Dementieva dan Maria Kirilenko membuktikan mereka berada di kelas tersendiri apabila menewaskan dua wakil Asia, Sania Mirza dan Zheng Jie di dalam perlawanan Showdown of Champions 2009 yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini malam tadi.

Pada perlawanan itu, Dementieva, pemain nombor lima dunia menewaskan Sania yang berada di ranking 57 dunia dengan kemenangan 6-4 pada set pertama.

Namun kekalahan itu sedikit pun tidak menghalang Sania untuk mempamerkan kebangkitan dan permainan kemas apabila mengheret Dementieva ke penentuan tie-break pada set kedua.

Kedua-dua pemain itu pada awal set kedua itu mempamerkan persembahan yang menakjubkan apabila saling mengejar mata sehingga kedudukan terikat 6-6 untuk beraksi pada tie-break.

Pengalaman, konsentasi dan pukulan servis kencang nyata milik Dementieva apabila menewaskan Sania dengan keputusan 7-0 (tie-break) dalam perlawanan yang berlangsung kira-kira sejam setengah itu.

Terdahulu rakan senegaranya, Kirilenko tidak menghadapi banyak masalah untuk mengalahkan seorang lagi pemain dari benua Asia kelahiran China iaitu, Zheng Jie dalam perlawanan yang berlangsung tiga set.

Kirilenko yang juga pemain ke-62 dunia berjaya memenangi set pertama 6-3 di dalam masa kira-kira 35 minit walaupun terpaksa berhadapan dengan semangat juang tinggi Jie.

Kekecewaan set pertama berjaya ditebus Jie yang merupakan pemain ke-35 dunia apabila menewaskan Kirilenko 6-4 walaupun pemain Rusia itu cuba bangkit untuk mengikat kedudukan 3-3 pada satu ketika.

Beraksi di set ketiga, usaha Jie untuk menang terbantut apabila Kirilenko terus memperkemaskan permainan dan kawalan gelanggangnya untuk menang dengan keputusan 6-4.

Pada Sabtu telah berlangsung perlawanan beregu antara Dimentieva dan Kirilenko menentang Sania dan Jie yang menyaksikan pasangan Russia itu menang dengan keputusan 6-4, 5-7 (10-8).

Ini merupakan tahun ketiga Showdown of Champions yang sebelum ini telah menampilkan bintang-bintang tenis dunia seperti Roger Federar, Rafeal Nadal, Pete Sampras serta bekas jaguh sukan itu John McEnroe dan Bjorn Borg. BERNAMA

Artikel Sebelum

Jangan Terlalu Selesa, Kata Azzudin

Artikel Berikut

Artikel Lain