suria

Atlet Menembak Hanya Sumbang Dua Lagi Perak

VIENTIANE: Sasaran empat pingat emas pada Sukan SEA Laos menerusi skuad menembak negara hancur apabila hari ini hanya dua perak diperoleh menerusi acara individu dan berpasukan lelaki pistol rapid fire 25m.

Dalam acara individu, penembak kebangsaan, Hasli Izwan Amir Hasan terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan 749.7 mata di belakang penembak dari Filipina, Nathaniel Padilla yang mengumpul 753.2 mata.

Penembak Vietnam, Pham Cao Son yang berkongsi mata dengan Hasli bagaimanapun tewas dalam pusingan penentuan apabila sekadar mendapat 47.7 mata untuk pingat gangsa berbanding penembak negara yang mendapat 48.2 mata.

"Saya berpuas hati dengan pingat perak biarpun ini bukan pencapaian Sukan SEA terbaik saya. Mata yang saya peroleh hari ini bagaimanapun merupakan mata terbaik saya untuk tahun ini," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berazam untuk mendapat emas selepas hanya menduduki tempat keenam semasa pusingan kelayakan pagi tadi namun hasrat itu tidak tercapai.

"Selepas balik ke Malaysia nanti, saya akan berbincang dengan jurulatih apakah kelemahan yang menyebabkan saya tidak dapat memenangi pingat emas," katanya.

Hasli memenangi pingat emas bagi acara individu pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur dan Sukan SEA 2005 di Manila manakala pada Sukan SEA yang lepas di Korat beliau memperoleh pingat emas bagi acara berpasukan dan pingat perak bagi individu.

Terdahulu, Hasli bersama-sama Hafiz Adzha dan Khalel Abdullah turut memperoleh pingat perak menerusi acara berpasukan lelaki.

Pasukan negara mengumpul 1,652 mata berbanding pasukan Vietnam yang mendapat 1,666 mata untuk dinobat sebagai juara manakala pasukan dari Thailand memenangi pingat gangsa dengan 1,637 mata.

Harapan terakhir untuk memenangi pingat emas dari lapangan menembak ialah pada esok apabila Bibiana Ng, Joseline Cheah dan Siti Nur Masitah Mohd Badrin akan mewakili negara dalam acara individu wanita 25m pistol. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain