suria

Badminton Perseorangan Lelaki Kandas Pusingan Pertama

VIENTIANE (LAOS): Perjuangan pemain badminton perseorangan lelaki pada Kejohanan Sukan SEA di Laos berakhir seawal pusingan pertama selepas dua wakilnya, Muhammad Hafiz Hashim dan Liew Daren hari Isnin tersingkir dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium 1, Kompleks Sukan Nasional di sini.

Tanpa kehadiran pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, negara kempunan pingat emas dalam acara perseorangan lelaki, namun kekecewaan itu diubati apabila pemain acara lain berjaya meneruskan cabaran ke suku akhir esok (hari ini).

Cabaran negara akan diteruskan oleh dua beregu lelakinya Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Mohd Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif, dua perseorangan wanita Wong Mew Choo dan Lydia Cheah, dua beregu wanita Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan Woon Khe Wei-Chong Sook Chin dan dua beregu campuran Koo Kien Keat-Wong Pei Tty serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Hafiz kecundang di tangan Sony Dwi Kuncoro buat kali kedua berturut-turut, sekali lagi menerusi perlawanan tiga set iaitu 12-21, 21-19, 14-21. Semalam, Hafiz tumpas kepada Sony dalam saingan berpasukan lelaki.

Sementara itu peluang yang diberikan kepada Liew Daren untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Chong Wei gagal dimanfaatkan oleh pemain muda negara itu apabila tumpas mudah kepada pemain tidak ternama Vietnam, Nguyen Hoang Hai 9-21, 15-21.

Dalam saingan perseorangan wanita, Mew Choo turut mendapat bye di pusingan pembukaan, namun beliau bakal berdepan dangan ujian terbesar di suku akhir esok apabila berdepan dengan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Maria Kristin dari Indonesia.

Pemain remaja negara, Lydia pula dipaksa mengharungi aksi mendebarkan sebelum menyingkirkan Nhung Le Nguyen dari Vietnam 14-21, 21-12, 21-12 untuk bertemu ujian getir menghadapi pilihan keempat, Zhang Beiwen dari Singapura.

Beregu nombor satu negara Kien Keat-Boon Heong bagaimanapun dipaksa bermain sehingga set ketiga untuk menumpaskan Bodin Isara-Maneepong Jongjit 14-21, 21-12, 23-21 manakala beregu kedua negara Mohd Fairuzizuan-Mohd Zakry juga dikerah bekerja keras ketika mengalahkan pasangan Vietnam, Bui Bang Duc-Dao Manh Thang 21-15, 18-21, 21-10.

Selepas menghadiahkan mata kemenangan dalam acara berpasukan wanita semalam, Khe Wei kembali ke pangkuan pasangan asalnya Chong Sook Chin dengan menewaskan pasangan tuan rumah, Khonesanith Inthavanh-Manivone Meungchaleun 21-8, 21-11.

Pei Tty-Eei Hui yang menerima bye di pusingan pertama pula akan memulakan cabaran dengan menentang Frances Liu-Vanesa Neo dari Singapura esok.

Sementara itu, Malaysia turut meneruskan cabaran dalam beregu campuran selepas Kien Keat-Pei Tty menundukkan Jeffrey Wong-Fu Mingtian dari Singapura 21-17, 21-10 manakala Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menewaskan beregu Vietnam Duong Bao Duc-Thai Thi Hong 21-15, 21-11. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain